
Beberapa hari lalu kami telah melaporkan tentang halangan jualan produk-produk komputer dari syarikat pengeluar peranti Acer dan ASUS di negara Jerman, kerana mereka didapati telah melanggar paten penggunaan codec video HEVC oleh Nokia dan tidak membayar royalti untuk penggunaan tersebut.
Berikutan dengan insiden tersebut, kedua-dua syarikat ini dilaporkan telah menutup laman web dan juga gedung atas talian mereka untuk negara Jerman, bermakna bahawa penduduk di negara tersebut bukan sahaja tidak boleh membeli komputer-komputer baru, tetapi juga tidak lagi boleh mendapatkan perisian kemaskini baru untuk mengemaskini komputer-komputer mereka.


Mengeruhkan keadaan lagi ialah akses ke laman-laman web Acer dan ASUS dari luar negara juga telah disekat, dan penggunaan VPN yang disambung dari luar negara adalah diperlukan untuk memuat-turun kemaskini-kemaskini ini.

Walaupun begitu, pihak ASUS khususnya mengatakan bahawa perkhidmatan pelanggan mereka akan beroperasi seperti biasa untuk memberi pelanggan sebarang bantuan sekiranya berhadapan isu dengan komputer-komputer mereka. Pihak ASUS juga akan membuat rayuan untuk membolehkan produk-produk mereka dijual semula di negara tersebut.



