Pada pertengahan tahun ini, Acer telah memperkenalkan konsol permainan mudah-alih PC yang dinamakan Acer Predator Atlas 8 yang merupakan penawaran konsol mudah-alih PC pertama oleh mereka, yang tampil dengan skrin bersaiz 8.0 inci dan menggunakan cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme yang dibangunkan khusus untuk konsol sebegini.

Di acara Acer GPC 2026, Acer telah memperkenalkan satu lagi model konsol mudah-alih yang dinamakan Acer Predator Atlas 7. Menariknya, spesifikasi yang ditawarkan pada konsol ini adalah sama seperti kebanyakan spesifikasi yang diperlihatkan pada konsol Predator Atlas 8 yang diperkenalkan sebelum ini.

Konsol Predator Atlas 7 juga dikuasakan oleh cip Intel Arc G3 Extreme yang sama dengan cip grafik Intel Arc B390 yang terbina. Penawaran memori dan storan juga adalah sama seperti model sebelumnya, dengan pilihan sehingga 24GB LPDDR5X dan 1TB storan SSD PCIe 4.0.
Dari segi paparan pula, konsol ini hadir dengan paparan bersaiz 7.0 inci dengan resolusi Full HD, kadar segar semula 120Hz, nilai kecerahan 500 nits yang diperkasakan dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus. Ia juga hadir dengan sokongan input sentuhan yang menyokong sehingga 10 titik sentuhan sekaligus.

Satu penambahbaikan yang diperlihatkan ialah alat kawalan analog pada konsol ini dilihat menggunakan komponen Tunneling Magnetoresistance (TMR) untuk memastikan bahawa alat kawalan tersebut boleh tahan lama dan tidak mengalami isu stick drift apabila digunakan untuk jangka-masa yang lama. Butang bahu kiri dan kanan juga kekal menggunakan suis Hall Effect untuk tujuan yang sama.
Dari segi bateri dan penyejukan, sekali lagi konsol Predator Atlas 7 tampil menggunakan bateri bersaiz 80WHr dan sistem penyejukan Vortex Flow yang menggunakan dua pasang kipas Aeroblade dengan 89 bilah yang dipasang pada konfigurasi yang memastikan bahawa haba yang dihasilkan oleh komponen-komponen dalam konsol boleh dialirkan dengan cepat untuk prestasi konsol yang optimum.

Ia juga tampil dengan perisian PredatorSense terbina untuk mengubahsuai pelbagai tetapan prestasi dan estetika konsol, dan hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar WiFi7 dan juga Bluetooth 5.4.
Buat masa ini, Acer belum mengesahkan lagi bilakah konsol Predator Atlas 7 dan juga Predator Atlas 8 ini akan diperkenalkan.





