Pada pertengahan tahun ini, Acer telah memperkenalkan sejumlah komputer riba untuk riadah dan produktiviti, diantaranya ialah Acer Swift Edge 14 AI yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel untuk komputer nipis dan ringan, dan juga rekaan komputer riba mereka yang paling ringan setakat ini.
Ia dilengkapi dengan skrin OLED 3K WQXGA+ 14″ dengan nisbah aspek 16:10, di samping menyokong gamut warna penuh DCI-P3 dan DisplayHDR True Black 600. Teknologi Corning Gorilla Matte Pro juga disertakan bagi mengurangkan pantulan sehingga 95%.

Untuk pasaran tempatan, Acer Swift Edge 14 AI dikuasai oleh CPU Intel Core Ultra 9 Processor 288V dengan GPU Intel Arc serta NPU terbina bagi tugasan berkaitan AI. Ia juga dilengkapi memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan storan SSD PCIe Gen 4 berkapasiti 1TB. Bateri berkapasiti 65Wh yang digunakan mampu bertahan sehingga 21 jam untuk main balik video.

Binaan rangka komputer riba ini pula diperbuat daripada aloi magnesium aluminium dan melepasi ujian ketahanan MIL-STD 810H Military Grade Durability. Selain itu, ia mempunyai kamera IR 1080P, pembesar suara DTS:X Ultra, thunderbolt 4 USB-C, USB-A, HDMI 2.1, dan bicu audio 3.5mm.
Sebagai sebuah komputer riba AI, komputer riba ini juga hadir dengan beberapa ciri-ciri AI seperti Acer User Sensing 2.0 yang menggunakan kamera web untuk mengesan kehadiran pemilik laptop, dan menggunakan teknologi imbasan wajah Windows Hello untuk melog masuk kedalam komputer tanpa perlu memasukkan kata laluan.

Acer Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ini sudahpun mula dijual di kedai-kedai fizikal Acer Concept Store di seluruh Malaysia pada harga RM7999. Bersempena dengan acara Acer Day yang akan berlangsung pada 24 Julai ke 6 Ogos 2025, mereka akan menerima tetikus nirwayar Acer Hyperscrolling dan kredit Touch’n’Go eWallet sebanyak RM200, yang membawa nilai hadiah percuma ini pada harga RM449.

