Jika anda sedang mencari dermaga Thunderbolt 5 untuk tambahan kepada jumlah palam-palam USB dan lain-lain yang tidak mencukupi, atau mahu menggunakan kad grafik berkuasa yang boleh disambungkan kepada komputer riba nipis dan ringan yang menyokong teknologi tersebut, Razer hari ini telah mengumumkan kehadiran dua produk dermaga Thunderbolt 5 baru untuk anda.

Mereka adalah Razer Thunderbolt 5 Dock dan Razer Core X V2, dua dermaga berbeza untuk dua tujuan yang berbeza juga. Razer Thunderbolt 5 Dock hadir dengan 10 palam terbina, termasuklah satu palam kuasa untuk mengaktifkan dermaga ini, dua palam Thunderbolt 5 untuk sambungan ke komputer, satu palam RJ-45 untuk sambungan internet berwayar, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 3.2 Type-C, satu pembaca kad SD UHS-II, satu palam kombo audio untuk fon kepala dan mikrofon dan satu slot untuk storan SSD M.2.

Bahagian atas demaga ini boleh dibuka untuk mendapatkan akses kepada ruangan storan didalam, dan dermaga ini boleh memuatkan storan SSD PCIe 4.0 dengan storan sebesar 8TB. Dalam pada itu, ia juga boleh menyokong sambungan kepada tiga buah paparan skrin dengan resolusi 4K ataupun satu paparan beresolusi 8K dan kadar segar semula 60Hz tanpa masalah.

Razer Core X V2 pula ialah sebuah dermaga kad grafik saiz desktop yang boleh digunakan untuk menguasakan bahagian grafik sebuah komputer riba. Dari segi sokongan komputer riba, jika komputer riba anda mempunyai palam Thunderbolt 4 ataupun Thunderbolt 5, anda boleh menggunakan dermaga ini bersama-sama kad grafik pilihan

Untuk menguasakan dermaga dan kad grafik ini, anda juga akan memerlukan sebuah bekalan kuasa PC, dan bergantung kepada kad grafik, anda juga perlu melihat kad grafik apakah yang disokong oleh dermaga ini. Razer telah menyenaraikan pilihan kad grafik yang boleh digunakan di laman web mereka.

Melalui kad grafik yang digunakan, anda boleh menyambung pelbagai jenis komputer riba ataupun konsol permainan PC mudah-alih, asalkan ia mempunyai palam Thunderbolt 4 ataupun Thunderbolt 5.
Razer mengatakan bahawa kedua-dua dermaga Thunderbolt 5 ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga berikut:
- Razer Thunderbolt 5 Dock Chroma – RM1999
- Razer Thunderbolt 5 Dock Mercury – RM1949
- Razer Core X V2 – RM1649



