
PETALING JAYA – Wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menewaskan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers 2-0 di Stadium Steelyard, sebentar tadi.
Pemain import sensasi, Marcos Guilherme muncul wira Harimau Selatan apabila meledak dua gol pada babak kedua, sekali gus menghadiahkan tiga mata penting buat skuad kendalian Xisco Munoz itu.
JDT menghukum tuan rumah yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten, Jeon Min-gwang dilayangkan kad merah susulan semakan VAR pada penghujung babak pertama.
Kelebihan tersebut memudahkan JDT mendominasi babak kedua apabila Guilherme memecah kebuntuan pada minit ke-49 menerusi penyudah tajam selepas menerima hantaran lorongan Shahab Zahedi.
Jaringan itu memberikan suntikan keyakinan kepada skuad Harimau Selatan untuk terus mengasak, namun Pohang yang juga bekas juara Asia tidak mudah mengalah apabila beberapa kali cuba mengancam kubu pelawat.
Penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi turut memainkan peranan penting apabila menafikan percubaan Juninho pada minit ke-75.
Guilherme kemudian memastikan tiga mata menjadi milik pasukan pelawat apabila menyambar bola muntah hasil percubaan Bergson pada minit ke-89 untuk menewaskan penjaga gol Pohang, Hong Seong-min buat kali kedua.
Keputusan 2-0 kekal hingga wisel penamat sekali gus menyaksikan JDT meraih empat mata daripada dua aksi peringkat liga zon timur kali ini. – KOSMO! ONLINE
The post ACLE: JDT buat wakil Korea Selatan ‘gigit jari’ appeared first on Kosmo Online.






