Langkah Fatin terhenti di suku akhir

1 Oct 2026 • 4:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Langkah Fatin terhenti di suku akhir

PETALING JAYA: Harapan pemanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh untuk melangkah lebih jauh dalam acara compound individu wanita terkandas di suku akhir selepas tewas kepada wakil Korea Selatan, Park Jungyoon 145-139 di Okazaki Chuo Sogo Park, semalam.

Pemanah berusia 35 tahun itu bagaimanapun menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya menembusi kelompok lapan terbaik dalam acara individu compound dan recurve di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Fatin sebelum itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila menyingkirkan Amna Alawadhi dari Emiriah Arab Bersatu dan pemanah Thailand, Kanoknapus Kaewchomphu untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.

Namun, langkahnya terhenti apabila Jungyoon tampil lebih konsisten dalam pertemuan suku akhir untuk mengatasi Fatin dengan kelebihan enam mata.

Kegagalan Fatin mara ke separuh akhir turut menyaksikan Malaysia gagal menempatkan wakil dalam kelompok empat terbaik bagi acara individu, dengan kem negara turut tidak berjaya melepasi pusingan 1/8 akhir dalam acara berpasukan compound dan recurve.

Fatin sebelum ini menjadi taruhan utama negara dalam acara compound wanita, namun cabaran sengit di peringkat suku akhir membuktikan jurang kecil pada mata cukup untuk memisahkan pemanah negara daripada peluang merebut pingat.

Keputusan itu sekali gus menutup kempen Malaysia dalam acara memanah tanpa wakil ke separuh akhir bagi acara individu mahupun berpasukan, dengan Fatin menjadi pemanah terakhir negara yang masih bertahan sebelum tersingkir. – UTUSAN

The post Langkah Fatin terhenti di suku akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved