KEPUTUSAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim untuk tidak mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar mengejutkan penyokong DAP, malah mengundang pelbagai tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik.
Ini kerana Marina sebelum ini dilihat antara pemimpin muda yang sedang meningkat naik dalam parti dan memiliki masa depan politik yang cerah. Pada usia masih muda, beliau bukan sahaja berjaya menawan kerusi Skudai dengan majoriti besar pada PRN Johor 2022, malah dianggap wajah generasi baharu kepimpinan DAP Johor.
Bermula sebagai ahli Cawangan DAP Indahpura pada tahun 2017, beliau dilantik Ahli Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) setahun kemudian sebelum mencipta kejayaan besar pada PRN Johor 2022.
Ketika itu, Marina yang merupakan Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor berjaya menawan kerusi DUN Skudai dengan majoriti 13,943 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN).
Hakikatnya, Skudai bukanlah kerusi biasa. Sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), kawasan itu menjadi antara kubu kuat DAP di Johor. Pada PRU14, Tan Hong Pin mencatat kemenangan dengan majoriti 35,126 undi. Sebelum itu kerusi berkenaan turut diwakili bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.
Atas kertas, Skudai masih dianggap kerusi selamat buat Pakatan Harapan (PH). Namun dalam politik, ketiadaan penyandang sering membuka ruang kepada pelbagai tafsiran dan naratif baharu. Lebih-lebih lagi apabila keputusan berundur dibuat ketika proses pemilihan calon serta rundingan kerusi sedang berlangsung menjelang PRN Johor.
Walaupun Marina menjelaskan keputusan dibuat selepas perbincangan dengan individu terdekat dan bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja kemasyarakatan, perkembangan terkini tetap mencetuskan persoalan sama ada wujud faktor lain yang lebih besar di sebalik pengunduran itu.
Perhatian turut tertumpu kenyataan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching yang melahirkan rasa kesal sekiranya strategi parti menjelang PRN Johor menyebabkan Marina berasa kecewa.
Kenyataan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada spekulasi bahawa keputusan berkenaan mungkin tidak semudah digambarkan. Apatah lagi apabila Nie Ching sendiri mengakui pengunduran Marina kehilangan besar kepada parti.
Sesungguhnya, DAP bukan sekadar kehilangan seorang ADUN. Parti itu kehilangan seorang pemimpin muda wanita yang berjaya membina pengaruh dalam tempoh singkat.
Ketika parti-parti politik berlumba-lumba menampilkan lebih ramai pemimpin muda dan wanita bagi menarik sokongan generasi baharu, keputusan Marina tentunya memberi kesan kepada naratif tersebut.
Mungkin benar DAP tidak akan berdepan masalah besar untuk mempertahankan Skudai berdasarkan rekod sokongan pengundi di kawasan itu. Namun kehilangan faktor penyandang tetap membawa implikasi tersendiri kerana lawan pasti akan cuba menguji kekuatan sebenar parti di peringkat akar umbi.
Situasi itu menjadi lebih menarik apabila ia berlaku hanya sehari sebelum Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin.
Pembubaran tersebut secara rasmi membuka laluan kepada PRN Johor dan menandakan bermulanya fasa penting pemilihan calon, rundingan kerusi serta penyusunan strategi oleh semua parti politik yang bertanding.
Justeru, selagi punca sebenar di sebalik keputusan itu tidak diperjelaskan sepenuhnya, persoalan yang bermain dalam fikiran ramai akan terus kekal menjelang PRN Johor: Ada apa dengan Marina?
* Nor Azura Md Amin ialah wartawan Sinar Harian Johor






