Adun PH berkumpul di kediaman rasmi MB Negeri Sembilan cetus tanda tanya

LocalPolitics
2 Jun 2026 • 12:19 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Adun PH berkumpul di kediaman rasmi MB Negeri Sembilan cetus tanda tanya

SEREMBAN — Kehadiran beberapa kenderaan yang membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Pakatan Harapan (PH) di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pagi tadi, kembali menghangatkan suhu politik di Negeri Sembilan.

Kenderaan wakil rakyat terbabit dilihat mula memasuki pekarangan kediaman rasmi berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi, dipercayai bagi menghadiri satu pertemuan tertutup untuk membincangkan perkembangan semasa dan hala tuju pentadbiran negeri.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Ahmad Shahir Md Shah, ketika dihubungi mengesahkan tiada sebarang sidang media dijadualkan setakat ini berhubung pertemuan tersebut.

Beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa Aminuddin dijadualkan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir esok pagi, iaitu rutin mingguan sebelum mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Pertemuan mengejut blok PH ini berlangsung ketika pentadbiran Negeri Sembilan sedang mendepani krisis perlembagaan dan adat yang memuncak sejak akhir April lalu. Ketegangan bermula susulan keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz untuk memecat Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong atas dakwaan pelanggaran adat.

Kerajaan negeri pimpinan Aminuddin kemudiannya mengambil tindakan eksekutif dengan membekukan peruntukan kewangan kepada Balai Undang Sungei Ujong. Sebagai tindak balas, institusi Undang Yang Empat mengkritik tindakan tersebut dan menggesa rombakan pentadbiran dilakukan.

Kemelut adat ini seterusnya mengheret kepada krisis keabsahan kerajaan apabila 14 Adun Barisan Nasional (BN) dilaporkan sempat menyatakan penarikan sokongan terhadap Aminuddin atas faktor kegagalan mengurus sensitiviti institusi adat, sebelum keadaan ditenangkan semula menerusi rundingan peringkat tertinggi Kerajaan Perpaduan.

Meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah mengarahkan Aminuddin untuk terus menjalankan tugas seperti biasa dan menolak pembubaran DUN, kehadiran para Adun PH hari ini membayangkan bahawa rundingan dalaman masih rancak berjalan demi memastikan kestabilan politik di negeri tersebut dapat dikekalkan. - 2 Jun, 2026

The post Adun PH berkumpul di kediaman rasmi MB Negeri Sembilan cetus tanda tanya appeared first on Scoop.