
KUALA LUMPUR – Dalam fasa bahagia, aktres Diana Danielle tidak menafikan perkahwinan menjadi hala tuju utama dalam percintaannya dengan lelaki dikenali sebagai Bern yang terjalin sejak tahun lalu.
Diana, 36, bagaimanapun enggan terburu-buru sebaliknya mempunyai beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memasuki fasa lebih serius
“Bila sudah ada kad, saya akan edarkan. Perancangan (kahwin) itu sebenarnya ada, bila berkawan pun, semua itu ke arah mana?
“Sudah tentu ke arah perkahwinan dan jenjang pelamin tetapi ada banyak perkara yang saya perlu fikir, jadi kena lebih strategik,” katanya kepada Kosmo! Online, malam tadi.
Dalam masa sama, dia bersyukur apabila Bern sentiasa berada di sisi dan memberikan sokongan termasuk kerap menemaninya dalam setiap urusan kerja tanpa cuba mencuri perhatian ramai.
Ditemui pada majlis tayangan gala filem Terbang, Diana memberitahu rasa bahagia antara sebab utama hubungannya dengan Bern masih kekal bertahan sehingga hari ini.
“Kalau tak bahagia, tak payahlah (teruskan hubungan). Jangan buang masa.
“Tetapi saya sangat hargai setiap kali dia hadir dan beri sokongan tetapi tidak pernah sekali pun cuba nak curi ‘spotlight’ atau tampil ke hadapan.
“Ketika saya menjalani penggambaran dan perlu pulang lewat malam seorang diri, dia sentiada ada menemani.
“Bagi saya, itu membuktikan dia seorang lelaki yang saya boleh harapkan,” katanya lagi.
Dia bagaimanapun menegaskan motivasi utamanya untuk terus bekerja ketika ini adalah disebabkan anak-anak dan bukan disebabkan rasa kebergantungan terhadap pasangan.
“Semangat bekerja dan untuk membina kehidupan lebih stanil adalah datang daripada anak-anak sebab ada keluarga yang masih memerlukan saya.
“Selagi dia (Bern) hanya sebagai teman lelaki, semangat dan visi tentang masa depan untuk hidup adalah 100 peratus daripada keluarga, anak-anak dan diri sendiri,” ujarnya.
Diana juga bakal muncul menerusi filem Terbang arahan Chiu Keng Guan yang mengangkat kisah pelumba sukan permotoran ekstrem atau rali, Karamjit Singh.
Filem yang turut dibintangi Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron dan Qasrina Karim itu akan menemui penonton dipawagam bermula 17 September depan.
Terdahulu, Diana terbuka berkongsi kisah peribadi apabila mengesahkan lelaki yang sering menemaninya merupakan teman istimewa iaitu Bern sejak tahun lalu.
Dia juga memberitahu hubungan bersama Bern bermula hanya selepas tamat tempoh idah semasa perceraian keduanya dengan bekas suami, Farid Kamil pada 23 Mac 2025. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ada kad, saya edarkan’ – Diana, kekasih rancang nak kahwin appeared first on Kosmo Online.



