
Pada Ahad lalu, berlaku satu kejadian di mana seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun di Jalan Kuala Kedah.
Siasatan mendapati, remaja tersebut tidak bekerja dan tidak bersekolah dipercayai memandu kereta milik rakan ibunya.
Susulan itu, polis Kedah telah membuka kertas siasatan terhadap remaja berkenaan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kini hanya menunggu keputusan timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan di mahkamah.
Artikel berkaitan: Tiada Lesen & Tak Bersekolah, Remaja 14 Tahun Pandu Kereta Rempuh Penunggang Motosikal Hingga Maut
Bagaimanapun, siasatan terhadap remaja itu turut membongkar kes rogol apabila remaja berkenaan mengaku pernah mengadakan hubungan seks dengan dua lelaki.

Sekali gus polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berikutan kes itu diklasifikasikan sebagai kes rogol kerana status remaja itu masih di bawah umur.
“Polis buka dua kertas siasatan membabitkan remaja itu iaitu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kes kemalangan maut yang berlaku pada 22 Oktober lalu dan berkaitan kes rogol.
“Remaja itu mendakwa melakukan hubungan seks dengan dua lelaki pada awal tahun ini dan beberapa hari sebelum kemalangan,” kata Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.
Susulan itu, polis telah menahan seorang suspek lelaki malam tadi dan sedang memburu seorang lagi suspek.
Mengulas mengenai kemalangan itu, polis memaklumkan hasil ujian saringan awal air kencing terhadap remaja itu mendapati dia negatif dadah.
Ibunya turut dipanggil bagi membantu siasatan sementara remaja berkenaan kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Fuh, tambah kes lain pula!
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


