“Ada masalah kemurungan” – Ibu Mengandung 8 Bulan Hilang Bersama Anak 4 Tahun Ditemui di KLIA

Entertainment
14 Nov 2024 • 5:16 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang ibu yang sarat mengandung 8 bulan mengejutkan ramai baru-baru ini apabila dia dan anaknya yang berusia 4 tahun dilaporkan hilang.

Nur Nadia Mohd Zakaria dikatakan keluar rumah dengan memandu kereta Perodua Axia berwarna biru gelap dengan membawa anak lelakinya bersama untuk membeli barang kemudian tidak pulang ke rumah mereka yang terletak di Kampung Chendering, Kuantan, Pahang.

image is not available

Kakak Nur Nadia, Adlin Mohd Zakaria berkata, adik bongsu daripada enam beradik itu dikatakan ingin membeli makanan di sebuah pasar raya di Jalan Pintasan Kuantan kira-kira jam 12 tengahari semalam.

“Kami menyedari kehilangannya selepas Nur Nadia dan anak lelakinya tidak pulang pada jam 5 petang sebelum ahli keluarga termasuk suami adik turut mencarinya.

Bagaimanapun, adik dan anak saudara tidak ditemui termasuk kereta yang dipandunya. Kebetulan Nur Nadia tidak membawa telefon bimbit.

Laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 8 malam tadi,” katanya.

Terbaru, ibu dan anak itu difahamkan telah ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Nur Nadia dan anaknya ditemukan anggota polis KLIA, kira-kira 2 petang hari ini. Difahamkan, ibu yang berusia 29 tahun itu menghadapi masalah kemurungan.

Sumber: Harian Metro (1)(2)

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.