
PETALING JAYA – Selepas 15 tahun menanti, pelawak Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya akhirnya bakal menimang cahaya mata sendiri tidak lama lagi.
Menadah kesyukuran, bagi Hasanah, pengesahan yang diterimanya itu sebuah kurniaan terindah selepas bertahun-tahun melayari rumah tangga dan melakukan pelbagai ikhtiar untuk mendapatkan zuriat sendiri.
“Sehinggalah Allah hadirkan satu berita yang selama ini kami impikan. Alhamdulillah, kami bakal menimang cahaya mata.
“Akhirnya ada nyawa kecil yang sedang membesar dalam rahim ini. Hadiah terindah daripada Allah yang tidak mampu kami ungkapkan dengan kata-kata.
“Terima kasih Ya Allah kerana tidak pernah mensia-siakan doa hamba-Mu dan terima kasih kepada Dr. Haris Hamzah serta semua yang banyak memberi semangat pada kami,” katanya dalam Instagram.
Menyingkap kembali episod duka dan suka mereka, Hasanah atau lebih dikenali sebagai Anne mengakui bahawa penantian sepanjang tempoh satu dekad setengah bukanlah sebuah perjalanan yang mudah, sebaliknya menjadi medan ujian yang menuntut kesabaran luar biasa.“15 tahun menanti, akhirnya Allah izinkan. Bukan sehari dua kami menunggu.
“Bukan setahun dua kami berharap tetapi selama 15 tahun, kami menyimpan impian yang sama.
“Ada doa yang tidak pernah putus walaupun berkali-kali diuji. Perjalanan ini bukan mudah, tetapi kami percaya setiap yang Allah aturkan pasti ada hikmahnya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 40, mendedahkan isterinya menjalani proses persenyawaan in-vitro (IVF) buat kali kedua.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2011 mengambil Tiara sebagai anak angkat pada 2018 dan empat tahun kemudian mereka menjalani rawatan IVF bagi mendapatkan zuriat, namun tidak berjaya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ada nyawa kecil dalam rahim’ – Isteri pelawak Achey hamil appeared first on Kosmo Online.






