'Ada pakaian dalam dicuri untuk tujuan sihir'

20 Apr 2025 • 9:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada menjemur pakaian di tempat terbuka bagi mengelakkan ia dicuri dan digunakan untuk tujuan yang tidak baik. - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada menjemur pakaian khususnya pakaian dalam di tempat terbuka bagi mengelakkan kecurian.

Mengulas insiden mencuri pakaian dalam yang kerap berlaku, perawat di Pusat Rawatan Islam Syria Asma, Hakim Jaafar berkata, terdapat golongan tertentu yang berbuat demikian untuk tujuan sihir.

Menurutnya, Pusat Rawatan Islam Syria Asma pernah mengendalikan kes-kes seumpama itu dan kebanyakannya melibatkan wanita, malah ada antara mangsa yang mengalami sakit berpanjangan.

“Memang ada kes-kes seperti ini yang saya rawat sebelum ini dan biasanya pesakit akan datang mengadu sakit, susah tidur malam, tidur terganggu dan sebagainya.

“Ketika diruqyah, kita pun dapat tahu punca seseorang itu sakit, ada yang disebabkan sakit hati, cemburu dan macam-macam lagi.

“Alhamdulillah, setakat ini ramai yang sudah sembuh tetapi kena ingat juga, perawat bukanlah beri kesembuhan 100 peratus, 70 peratus hasil rawatan perawat dan 30 peratus adalah usaha pesakit sendiri menerusi amalan zikir dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Hakim berkata, sememangnya terdapat individu tertentu yang mencuri pakaian dalam untuk melakukan perkara-perkara mistik seperti menyihir pemiliknya.

Katanya, sihir berkenaan boleh membuatkan mangsa menjadi lemah, sering sakit kepala, sakit badan, mengalami mimpi buruk dan kesihatan terganggu.

“Bila terkena sihir ini, memanglah mangsa akan jatuh sakit dan jika tidak dirawat ia boleh berlarutan.

“Apa pun segalanya adalah daripada dan dengan izin ALLAH SWT. Sebagai hambaNYA, kita seharusnya sentiasa beramal soleh kerana ia mampu menjadi pendinding kepada kita,” katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved