
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak belakangan ini, hangat di media sosial isu mengenai ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam Ceramah Perdana PN-BN di Jempol, Negeri Sembilan pada 23 Julai lalu.
Isu itu mula tular apabila kenyataan Muhammad Sanusi didakwa telah mencetuskan kontroversi dan mengguris hati kaum lain.
Susulan itu, Muhammad Sanusi yang juga merupakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional menjelaskan beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya itu untuk tujuan politik.
Antara individu yang membangkitkan isu berkenaan adalah Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang turut tampil membuat laporan polis.
Malah, dia turut berkongsi video sewaktu membuat laporan berkenaan.
@drsathiaprakashnadarajan ♬ original sound – Dr.Sathia Prakash Nadarajan – Dr.Sathia Prakash Nadarajan
Sanusi Mula Hantar LOD Kepada Beberapa Individu
Terbaharu, Muhammad Sanusi dalam satu kenyataan di Facebook menjelaskan pihak peguamnya kini dalam proses menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada mereka yang didakwa memutarbelitkan kenyataan dalam ceramah tersebut.
Jelasnya, lebih ramai lagi individu yang akan tersenarai sebagai penerima LOD sekiranya mereka didapati melakukan perkara sama termasuk memutar belit, menokok tambah dan mengulas kenyataan berbanding konteks sebenar.
Tegas Muhammad Sanusi, tindakan itu diambil bagi memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat agar tidak memanipulasi kenyataan yang dibuat dalam ceramah di Jempol itu.
“Penyerahan LOD ini sedang diuruskan oleh pasukan peguam.
“Ada ramai lagi dalam senarai untuk menerima LOD seumpama ini dengan tuntutan yang sesuai dengan ‘tujuan dan kemahuan’ mereka sendiri melalui tindakan mereka memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang telah diputarbelit tanpa periksa, memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar.
“Semoga memberi pengajaran kepada semua,” katanya.
Nama Dr Sathia Prakash Nadarajan Dalam Surat LOD Dihantar Sanusi
Menerusi hantaran sama, Muhammad Sanusi turut memuat naik imej Surat LOD dengan Dr Sathia dipercayai menjadi individu pertama menerima surat LOD tersebut.
Sebelum ini, Sathia telah membuat laporan polis berhubung ucapan Muhammad Sanusi dalam ceramah terbabit yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.
Dr Sathia Akui Khilaf, Kaitkan Ucapan Sanusi Dengan ‘Balik’
Namun memetik Sinar Harian, Dr Sathia mengakui terdapat kekhilafan sewaktu megulangi ucapan Sanusi yang dikaitkan dengan ucapan ‘balik’.
Jelasnya, perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Pas berkenaan mengenai ucapannya pada tempoh hari.
Ini kerana terang Dr Sathia, fokus utama laporan polis yang dibuat adalah kenyataan Muhammad Sanusi yang menyebut orang India mempunyai India, orang Cina mempunyai China manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.
“Saya mengakui terdapat kekhilafan apabila mengulangi ucapan itu dengan menggunakan perkataan ‘balik’.
“Namun saya tidak pernah mendakwa perkataan tersebut merupakan petikan tepat daripada ucapan Muhammad Sanusi.
“Sebaliknya, apa yang saya bangkitkan ialah maksud tersirat daripada keseluruhan ucapan berkenaan yang boleh difahami oleh pendengar,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Sanusi Tegas Ucapan Dalam Ceramah Berpaksikan Fakta Sejarah
Terdahulu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim juga telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah yang mendakwa kenyataan Sathia mengenai petikan ceramah Muhammad Sanusi dalam ceramah terbabit adalah tidak benar.
Lapor Malaysia Gazette, Muhammad Sanusi turut menegaskan ucapannya dalam ceramah terbabit adalah berpaksikan fakta sejarah yang pernah direkodkan dalam Parlimen British sejak tahun 1946.
“Apa yang saya kata hanya begini: ‘Melayu tadak dah tanah, Melayu ada Tanah Melayu ni saja. Orang India ada India. Orang Cina ada Cina. Melayu di mana? Melayu di sini saja.
“Saya kemudiannya mengulangi gagasan ini dengan merujuk sejarah pembentukan negara: ‘Allah buat bangsa ini ada tanah, kaum dia ada tanah dia. Siam duduk di Thailand, Vietnam di Vietnam, Kampuchea di Kemboja, Cina di China, India di India. Dulu nama tanah ni Tanah Melayu. Ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu.
“Ucapan ini saya sampaikan dalam konteks kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Saya menghubungkan identiti sejarah Tanah Melayu dengan kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu, pembentukan Persekutuan Tanah Melayu serta keperluan masyarakat Melayu mengambil berat tentang perkembangan politik semasa,” katanya.
Malah jelas Muhammad Sanusi, ungkapan itu bukanlah gagasan baharu yang diperkenalkan pada tahun ini, sebliknya ia juga mempunyai persamaan dengan kenyataan beberapa tokoh British dalam rekod hansard.
Baca Artikel Berkaitan: Sanusi Menang Kes Saman Fitnah Beli Vellfire, Mahkamah Perintah Mahfuz Bayar RM250,000
Baca Artikel Berkaitan: Jumpa Di Mahkamah, Kata Sanusi Kepada Anwar






