Ada Sebab Elly Mazlein Tak Tayang Wajah Anak - “Saya Tak Mahu Mereka Jadi…”

18 Apr 2025 • 1:25 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon dan pengacara Big Stage Alpha 2025, Elly Mazlein mempunyai sebab tersendiri untuk tidak mendedahkan wajah kedua anaknya iaitu Sefhia, 8 dan Haider Matten, 4, di media sosial.
 

Mahu jaga privasi anak

 


Menurut Elly, perkara itu bertujuan untuk menjaga privasi selain mahu anak-anaknya menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal yang lain.


 

"Biarlah anak-anak membesar seperti orang biasa sebab saya tidak mahu mereka menjadi tumpuan. Saya ingin mereka (anak-anak) merasa hidup bebas. Tak naklah rasa mak dia artis atau selebriti. 

 


"Alhamdulillah sampai hari ini anak-anak saya sangat selesa dengan kehidupan mereka," katanya.


 

Syukur ramai yang memahami


Dalam pada itu, Elly juga turut meluahkan rasa terharu apabila orang luar turut memahami dan tidak mengacau privasi mereka sekeluarga.


 

"Kalau saya bawa anak keluar, kebanyakan peminat sudah faham prinsip saya. Mungkin kerana mereka sudah lama mengikuti media sosial saya. 
 
“Peminat menghormati, mereka memang tahu kalau saya muat naik foto anak-anak wajah akan ditutup dengan emoji.
 

 


"Jadi, kalau mereka mahu memuat naik foto bersama saya, mereka akan 'blur' wajah anak-anak saya," jelasnya.


Pendapat masing-masing


Dalam pada itu, ditanya mengenai pendapat mengenai ada rakan artis melakukan tindakan yang sama, Elly berkata itu terpulang kepada pilihan masing-masing.


 

"Apabila ada artis-artis lain membuat keputusan sama, mungkin itu terbaik untuk mereka. Teruskan. Tapi apa-apa pun hak masing-masing, ada sahaja artis dan orang biasa kongsikan anak mereka di media sosial. 
 
"Namun bagi saya, saya gembira dengan keputusan yang dibuat untuk anak-anak," katanya.

 


Terdahulu, Elly mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Azlan Che Nuh pada Januari 2020.


 


Hasil perkahwinan itu pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Haider, 4 tahun.


 


Sebelum ini, Elly pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun berpisah pada 15 Oktober 2015 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Putri Sara Sefhia.