'Ada yang mabuk, berkeliaran ganggu penduduk Flat Pandan Mewah'

11 Jun 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Ada yang mabuk, berkeliaran ganggu penduduk Flat Pandan Mewah'
Sebahagian warga asing melepak di padang Flat Pandan Mewah.
Image from: 'Ada yang mabuk, berkeliaran ganggu penduduk Flat Pandan Mewah'
Seorang lelaki warga asing yang disyaki mabuk tidur di atas kerusi di padang Flat Pandan Mewah.
Image from: 'Ada yang mabuk, berkeliaran ganggu penduduk Flat Pandan Mewah'
Sebahagian warga asing yang berkeliaran di Flat Pandan Mewah.
Image from: 'Ada yang mabuk, berkeliaran ganggu penduduk Flat Pandan Mewah'
Padang di kawasan perumahan yang dijadikan sebagai pasar lambak.

AMPANG – Lambakan warga asing di Flat Pandan Mewah di sini terus menjadi rungutan penduduk apabila kawasan tersebut didakwa semakin sesak selain dikaitkan dengan pelbagai isu sosial dan keselamatan yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti setempat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kehadiran warga asing dapat dilihat hampir di setiap sudut kawasan perumahan itu termasuk di kedai runcit, restoran dan padang, sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan sebahagian penduduk tempatan.

Beberapa penduduk yang ditemui mendakwa jumlah warga asing yang terdiri daripada etnik Rohingya serta warga Myanmar dan Bangladesh di kawasan berkenaan semakin meningkat.

**media[3547798]**

Mereka turut mendakwa banyak unit kediaman disewa kepada warga asing yang tinggal secara beramai-ramai dalam satu rumah.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Pandan Mewah A7-A12, Muhammad Eizzrul Ehsan Azmi berkata, keadaan itu bukan sahaja mengubah demografi kawasan berkenaan, malah turut menjejaskan imej flat tersebut.

Menurutnya, jika dahulu majoriti penghuni terdiri daripada rakyat tempatan, keadaan kini jauh berbeza apabila warga asing lebih ramai kelihatan di kawasan perumahan berkenaan.

“Dulu majoriti penduduk di sini ialah rakyat tempatan, tetapi sekarang apabila keluar rumah, lebih ramai warga asing berbanding penduduk tempatan yang ditemui.

“Kami tidak menolak mereka yang tinggal di sini, namun apa yang membimbangkan ialah isu kebersihan dan keselamatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

**media[3547800]**

Muhammad Eizzrul Ehsan berkata, terdapat segelintir warga asing yang didakwa mabuk pada waktu malam sebelum berkeliaran di kawasan flat sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.

“Dalam kejadian baru-baru ini, ada wanita tempatan yang mengadu diekori individu dipercayai warga asing ketika pulang ke rumah. Ada yang mengikuti mereka sehingga ke tangga flat sebelum beredar apabila disedari penduduk lain.

“Keadaan seperti ini menyebabkan ramai penduduk, terutama wanita, berasa tidak selamat untuk bergerak bersendirian pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata, kawasan padang di situ turut digunakan sebagai tapak pasar lambak oleh segelintir warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan secara terbuka.

“Warga asing berkenaan menjual barangan terpakai, pakaian dan barangan yang dibaiki semula seperti kipas kepada rakan senegara mereka,” katanya.

Menurutnya, segelintir warga asing turut menjalankan perniagaan secara haram pada setiap pagi hujung minggu di kawasan berkenaan.

"Keadaan bertambah buruk apabila persekitaran kawasan ini kotor dan berbau kurang menyenangkan, termasuk kesan ludah sireh yang bersepah di merata-rata tempat sehingga mengganggu keselesaan orang awam yang melalui lokasi berkenaan," ujarnya.

Muhammad Eizzrul Ehsan berkata, beliau pernah menerima ugutan daripada individu yang disyaki warga asing berhubung tindakannya yang sering memuat naik video di media sosial berkaitan isu melibatkan warga asing di kawasan tersebut.

“Ugutan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan pendedahan yang saya buat di media sosial. Saya turut bimbang terhadap keselamatan diri kerana terlalu aktif menyuarakan isu tersebut,” katanya.

**media[3547804]**

Sementara itu, seorang suri rumah yang enggan dikenali mendakwa kebanyakan premis perniagaan di sekitar kawasan tersebut turut dimonopoli warga asing.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk tempatan berasa seolah-olah menjadi kelompok minoriti di kawasan sendiri.

“Kadang-kadang kami rasa seperti orang luar di kawasan sendiri kerana hampir semua yang berada di sekitar flat ini terdiri daripada warga asing.

“Apabila keluar membeli barang atau ke kedai makan, kebanyakan pelanggan yang dilihat juga warga asing,” ujarnya.

Pada November 2024, Sinar Harian pernah melaporkan Flat Pandan Mewah menjadi tumpuan operasi bersepadu besar-besaran melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) susulan aduan mengenai kebanjiran warga asing di kawasan tersebut.

Operasi berkenaan menyaksikan ratusan warga asing diperiksa, manakala puluhan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Penduduk berharap pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan isu lambakan warga asing serta masalah sosial dapat ditangani dengan lebih berkesan demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat.