Warga asing simpan telur penyu dijel 18 bulan, denda RM50,000

LocalEnvironment
11 Jun 2026 • 2:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga asing simpan telur penyu dijel 18 bulan, denda RM50,000
Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara selepas mengaku bersalah memiliki 490 biji telur penyu daripada spesies yang dilindungi sepenuhnya di negeri ini. Gambar hiasan

SANDAKAN - Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah memiliki 490 biji telur penyu daripada spesies yang dilindungi sepenuhnya di negeri ini.

Tertuduh, Manan Saibung yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslinda Razali pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki 490 biji telur penyu daripada spesies Penyu Hijau (Chelonia mydas) dan Penyu Sisik (Eretmochelys imbricata) tanpa kebenaran yang sah.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 5.50 petang pada 7 Jun lalu di tepi jalan hadapan sebuah premis di Sandakan.

Kedua-dua spesies berkenaan disenaraikan sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 dan Nombor 9 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4)(a) enakmen sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun enam bulan dan denda RM50,000 terhadap tertuduh di mana jika dia gagal membayar denda tersebut, boleh dipenjarakan selama 10 bulan.

Selain itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara satu tahun enam bulan terhadap tertuduh dan memerintahkan supaya dia diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Primus Lambut manakala tertuduh tidak diwakili peguam.