“Ada Yang Tidak Kena” – Lagi Kes Pelajar Terjatuh Di Sekolah Zara Qairina, Peguam Gesa Polis Siasat Secara Telus

LocalPolitics
20 Jul 2026 • 10:27 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Ada Yang Tidak Kena” – Lagi Kes Pelajar Terjatuh Di Sekolah Zara Qairina, Peguam Gesa Polis Siasat Secara Telus

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, orang ramai dikejutkan dengan insiden seorang pelajar terjatuh dari tingkat satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.

Apa yang menjadi perhatian adalah insiden tersebut berlaku di lokasi sama yang meragut nyawa arwah Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah memaklumkan dapatan awal kejadian berkenaan tidak mempunyai unsur jenayah atau buli.

Peguam Buat Laporan, Gesa Polis Jalankan Siasatan Telus

Terbaharu, peguam, Datuk Ram Singh menggesa agar pihak polis menjalankan siasatan secara telus, bebas dan menyeluruh berhubung insiden terbabit.

Ini kerana jelasnya, meskipun Jabatan Pendidikan Negeri Sabah memaklumkan bahawa tiada unsur jenayah mahupun buli, siasatan secara menyeluruh melibatkan polis tetap perlu dijalankan.

“Polis perlu menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian, kelemahan dalam langkah-langkah keselamatan, pengabaian tugas atau faktor-faktor lain yang mungkin menjadi punca kejadian,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Ram berkata demikian dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Luyang, Kota Kinabalu, Sabah.

Jelas Ram, laporan itu dibuat bagi memastikan keselamatan serta kebajikan semua pelajar terus terpelihara selain mengelakkan dari kejadian sama berulang kembali.

Insiden Berulang Dalam Tempoh Setahun, Peguam Sifatkan Ada Sesuatu Tak Kena

Tambahnya lagi, dia telah membaca laporan terbabit yang melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua yang terjatuh dalam kawasan sekolah sebelum mangsa dikejarkan ke hospital.

Malah terang Ram, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah juga telahpun mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan bahawa murid berkenaan berada dalam keadaan stabil.

Malah, keluarga dan polis juga telah dimaklumkan mengenai kejadian terbabit.

“Insiden ini berlaku setahun selepas kematian Zara Qairina Mahathir, yang turut berlaku di sekolah sama dan kini menjadi subjek prosiding inkues yang masih berjalan.

“Kejadian seperti ini di sekolah yang sama dalam tempoh yang agak singkat telah menimbulkan kebimbangan orang ramai serta persoalan mengenai tahap penyeliaan pelajar, pengurusan sekolah, kemudahan fizikal dan faktor-faktor lain,” katanya.

Ram yang terlibat dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina serta mewakili salah seorang pelajar yang dikaitkan dengan remaja berkenaan di Mahkamah Kanak-Kanak menjelaskan pada permulaan prosiding kes, banyak persoalan yang dibangkitkan mengenai langkah keselamatan sekolah berkenaan namun kejadian yang hampir sama berlaku sekali lagi.

“Itu amat mengecewakan. Ada sesuatu yang tidak kena.”

“Sekiranya terdapat bukti kecuaian atau sebarang kesalahan, tindakan undang-undang yang sewajarnya mesti diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Pengerusi MARA Turut Gesa Perkara Sama

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menggesa agar tindakan drastik serta tegas diambil bagi menangani insiden pelajar terjatuh dari bangunan sekolah.

“Insiden pelajar jatuh bangunan sekolah yang sama dengan sekolah lokasi Tragedi Zara Qairina adalah suatu yang amat menyedihkan dan membimbangkan.

“Perlu diambil tindakan drastik dan tegas menangani insiden ini,” katanya.

Terdahulu, Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang bangunan asrama perempuan di tempatnya belajar kira-kira jam 3 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi mendapatkan rawatan.

Namun, Zara disahkan meninggal dunia jam 1.07 tengah hari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang, Sabah.

Prosiding inkues yang kini sedang berlangsung serta siasatan tertumpu kepada usaha untuk menentukan keadaan sebenar yang membawa kematiannya termasuklah dakwaan berlakunya kejadian buli.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina Buka Mata Aspek Keselamatan Di Sekolah, Hanya 28% CCTV Berfungsi – Menteri Pendidikan

Baca Artikel Berkaitan: Tragedi Zara Qairina: KPM Arah Audit Keselamatan Di Semua Sekolah

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved