
TIDAK sampai 10 saat, namun cukup untuk meruntun jiwa. Itulah gambaran sebuah video tular yang memaparkan detik sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV)merempuh motosikal di sebuah jalan di Petaling Jaya.
Di sebalik rakaman menyayat hati itu, tersimpan kisah kehilangan yang lebih besar. Perginya seorang anak muda yang sedang meniti masa depan.
Pemuda tersebut dikenali sebagai Azim Haikal Noor Aziddin, pelajar Diploma Komunikasi yang dikatakan baru sahaja menamatkan latihan industri dengan cemerlang dan menunggu hari untuk melangkah ke pentas konvokesyen.

Namun, takdir mendahului segalanya.
Perkongsian menyentuh hati daripada pensyarahnya, Rahmahtunnisah Sailin, mengundang sebak ramai.
Dalam coretan ringkas, dia menggambarkan arwah sebagai seorang pelajar yang bukan sahaja berdisiplin, malah memiliki adab dan budi pekerti yang tinggi.
Lebih memilukan, pemergian itu berlaku sebelum Allahyarham sempat meraih diploma.
"Telah kembali pelajar dan mentee saya Azim Haikal bin Noor Aziddin Diploma Komunikasi Sesi II 2022/2023.

"Arwah telah selesai menjalani latihan industri dengan jayanya pada sesi lepas dan bakal bergraduan dalam Konvokesyen Universiti Islam Selangor akan datang.
"Kami sebagai guru sangat menyenangi adab dan budi pekertinya yang baik, patuh dan disenangi juga rakan-rakan. Malah jiran-jirannya juga senang dengannya.
"Semoga ALLAH mengampuni menempatkannya dalam kalangan para solehin," kongsinya.
Kronologi kejadian
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.08 petang Selasa.
Memetik Bernama, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 1.45 tengah hari di Jalan 17/21 apabila sebuah Proton X70 dipandu lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Kenderaan itu kemudian merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.
Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu SUV bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujian saringan awal terhadap pemandu tersebut didapati negatif bagi alkohol dan dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Sementara itu, rata-rata pengguna laman sosial Threads, tempat video kemalangan itu tular menggesa agar keadilan ditegakkan buat Allahyarham.
