
SEREMBAN – Satu perkongsian di media sosial mengenai sikap spontan orang ramai yang berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan telah mencuri perhatian ramai netizen.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Threads, @shapinky, beliau berkongsi pengalaman ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran dalam pusat beli-belah Seremban Prima apabila lagu kebangsaan itu berkumandang sempena satu acara sekolah berhampiran.
Menurutnya, sebaik sahaja Negaraku dimainkan, semua pelanggan di restoran tersebut berdiri sebagai tanda hormat tanpa mengira sama ada mereka sedang makan atau baru sahaja ingin memulakan hidangan.
“Tak kira yang tengah makan atau baru nak makan, semuanya berdiri memberi hormat.
“Nampak macam perkara biasa, tapi momen macam ni buat saya rasa bangga. Adab orang Malaysia masih tinggi,” tulisnya.
Momen Ringkas Yang Menyentuh Hati
Perkongsian itu turut disertakan dengan gambar yang menunjukkan beberapa pelanggan berdiri di sisi meja masing-masing ketika lagu kebangsaan dimainkan.
Walaupun tiada arahan rasmi diberikan, tindakan spontan tersebut dianggap sebagai simbol rasa hormat terhadap negara dan mencerminkan nilai adab yang masih diamalkan dalam kalangan masyarakat.
Hantaran berkenaan kemudian menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang turut meluahkan rasa bangga melihat semangat patriotik tersebut.
Ada yang mengakui mereka juga akan melakukan perkara sama kerana merasakan tidak wajar untuk terus duduk ketika lagu kebangsaan dimainkan.
“Rasa macam berdosa dan tak hormat kalau tak berdiri tegak,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi netizen berkata, “Tahniah rakyat Malaysia,” manakala ada yang menyifatkan situasi itu sebagai bukti bahawa rakyat berbilang kaum di negara ini masih mengekalkan nilai hormat dan adab dalam kehidupan seharian.
Netizen Kongsi Pengalaman Sama
Ruangan komen turut dibanjiri pelbagai reaksi yang rata-ratanya memuji sikap masyarakat yang masih menghormati lagu kebangsaan.
Malah, ada yang menyatakan mereka berasa sebak dan bangga melihat situasi sedemikian berlaku secara spontan tanpa mengira latar belakang kaum atau usia.
Perkongsian tersebut setakat ini terus mendapat perhatian warga maya yang melihatnya sebagai satu momen kecil, namun cukup bermakna dalam menyemarakkan semangat cintakan negara. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post Adab Hormati Negaraku Raih Pujian, Warga Restoran Berdiri Serentak Ketika Lagu Kebangsaan Berkumandang appeared first on The Malaysian Update.


