
KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching mengimbas kembali bagaimana kerjasama profesional dan baik antara Umno serta DAP ketika mengadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, di Kluang, pada 2024.
Ahli Parlimen Kulai itu menyentuh bagaimana beliau naik di atas pentas pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) bagi mewakili DAP Johor.
Ketika itu, katanya, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Kebangsaan telah membuat satu keputusan bahawa DAP Johor, khususnya DAP Kluang, perlu berkempen sepenuh hati bagi memastikan kemenangan BN.
“Apabila wakil BN menjemput saya duduk di atas pentas, saya naik. Apabila wakil BN menyerahkan bendera dacing kepada saya, saya pegang.
“Kenapa? Adakah saya tidak rasa janggal?’’
“Bukan saya tidak rasa pelik, tetapi semua ini adalah untuk menunjukkan keikhlasan DAP dalam sama-sama menjayakan rakan kerja kami di dalam Kerajaan Perpaduan,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Pada PRK DUN Mahkota 2024, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648.
Menurut Teo, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, tiada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan justeru Pakatan Harapan (PH) memilih untuk bekerjasama dengan BN, GPS, dan GRS bagi membentuk kerajaan.
“Dan sebagai rakan kerja, kami mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan kita. Apabila rakan kerja kita menghadapi PRK di Mahkota, kita tidak berkata, 'oleh sebab tiada Kerajaan Perpaduan di Johor, maka kami tidak mahu membantu Umno',’’ katanya.
DAP, katanya, tidak bermuka dua, tidak mendua hati dan tidak berpura-pura sebaliknya ia adalah sebuah parti yang ikhlas.
“Kita tidak mengamalkan politik yang mulut manis, hati berbulu. Tak apalah. Orang berbudi, kita berbahasa. Umno nak lawan, kita lawan sampai menang,’’ katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Johor pada 11 Julai ini.
Dalam pada itu, DAP mempertaruhkan seorang peguam muda, Chu Poh Yee, 33, sebagai calon pertamanya bagi PRN Johor untuk mempertahankan kerusi DUN Mengkibol. - 19 Jun, 2026
The post ‘Adakah saya tidak rasa janggal pegang bendera dacing’ Teo imbau kerjasama DAP bantu BN menang PRK Dun Mahkota appeared first on Scoop.


