
KUALA LUMPUR - DAP Johor menerima dengan berat hati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang serta berundur daripada dunia politik.
Pengerusinya, Teo Nie Ching berkata, pencalonan Marina, di Dewan Undangan negeri (DUN) Skudai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 dibuat oleh Pengerusi DAP Johor ketika itu, Liew Chin Tong kerana parti memerlukan pemimpin muda yang berkebolehan untuk membantu memperluaskan khidmat bakti DAP ke kawasan bukan kubu tradisi.
Beliau turut memberitahu, Pakatan Harapan Johor telah memulakan rundingan pembahagian kerusi dan walaupun rundingan masih berjalan, ada kemungkinan yang besar DAP kali ini dapat tanding di satu kerusi bandar yang pernah dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
Justeru, katanya, Marina merupakan calon paling berpotensi yang mempunyai peluang kemenangan paling tinggi untuk menggalas misi strategik DAP untuk bertanding di luar kawasan Skudai.
“Semua perkara ini telah dijelaskan secara terperinci kepada Marina dalam perbincangan kami.
“Bagi memberikan keyakinan bahawa parti akan terus bersama beliau tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Negeri Johor kelak, saya turut berkongsi hasrat untuk mencadangkan beliau sebagai Pengerusi sebuah badan berkanun, yang saya percaya mampu menjadi medan untuk beliau terus menyumbang secara konstruktif kepada masyarakat dan negara.
“DAP Johor amat menghargai pemimpin yang sanggup mengambil langkah taktikal yang berani demi kepentingan parti, dan kami akan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk bersama mereka menempuh cabaran, khususnya apabila berdepan situasi yang penuh ketidakpastian,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Marina hari ini mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan berundur daripada dunia politik.
Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dengan individu yang sentiasa berada bersamanya sepanjang perjalanan politiknya.
Marina berusia 34 tahun ketika memenangi kerusi Skudai dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengatasi pencabar terdekatnya daripada MCA-Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan tiga penjuru.
Dalam pada itu, Teo berkata sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi pilihan raya negeri Johor menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati Marina dalam apa cara sekali pun, beliau merakamkan rasa kesal secara terbuka.
“Namun sebagai Pengerusi, menjadi tanggungjawab saya untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor yang bakal tiba.
“Bagi pihak DAP Johor, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Saudari Marina atas segala jasa, khidmat bakti dan komitmen beliau kepada parti serta rakyat selama ini.
“Kami mendoakan yang terbaik buat beliau dalam apa jua bidang yang bakal diceburi selepas ini,’’ katanya.
Jelas Teo, walaupun Marina memilih untuk berundur dari arena politik, beliau yakin akan ada banyak lagi ruang dan peluang pada masa hadapan untuk kita bekerjasama demi kebaikan masyarakat dan negara. - 31 Mei, 2026
The post DAP Johor terima berat hati keputusan Marina Ibrahim berundur, dedah ditawar DUN baharu appeared first on Scoop.






