
PETALING JAYA – Tindakan seorang ibu membawa dua anaknya ke balai polis selepas mereka bergaduh sesama sendiri mengundang perhatian ramai apabila dia meminta anggota polis memberikan nasihat sebagai pengajaran kepada mereka.
Menerusi hantaran di laman Threads, pengguna @Masyitahmohamaddin berkata, kejadian itu berlaku selepas anak sulungnya yang menghidap autisme ringan berusia 10 tahun bergurau dengan adiknya berusia lapan tahun sebelum keadaan bertukar menjadi kasar.
Menurutnya, adiknya kemudian menggelarkan abangnya sebagai “autisme gila”, menyebabkan kanak-kanak itu menangis kerana berasa sedih dengan kata-kata tersebut.
“Mulanya saya tidak tahu kenapa dia menangis. Bila saya tanya, dia beritahu adiknya panggil dia ‘autisme gila’. Saya sedih dan terus bawa mereka ke balai polis.
“Saya minta tolong anggota polis beri sepatah dua kata kepada mereka. Anak-anak saya baik, saya cuma mahu beri pengajaran,” katanya.
Perkongsian itu turut disertakan sekeping gambar anaknya berada di dalam kenderaan sambil ditemani seorang anggota polis.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna yang juga dipercayai anggota polis, @Yonana_yuri, berkata pihaknya memahami perasaan ibu bapa yang berdepan situasi sedemikian.
“Sebagai seorang polis, kami juga mempunyai perasaan. Jika ibu atau bapa membawa kes seperti ini, sudah tentu kami akan melayan dan membantu. Kami faham keadaan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Adik-beradik bergaduh, ibu minta polis selesaikan appeared first on Kosmo Digital.





