MERAK Jalanan perhati satu penyakit yang makin menjadi-jadi dalam masyarakat kita. Adik-beradik jadi renggang malah bermusuh hanya kerana ipar duai. Dulu, bukan main rapat. Makan dalam satu pinggan, tidur berhimpit, gaduh pun sekejap saja. Esok dah berbaik.
Tapi bila dah kahwin, lain jadinya. Ada yang mula membenci dengan darah daging sendiri. Semua benda jadi tak kena. Adik-beradik yang dulu rapat, sekarang sanggup bermasam muka bertahun-tahun lamanya kerana ipar duai.
Merak Jalanan nak pesan, jangan jadikan pasangan sebagai alasan untuk putuskan hubungan keluarga. Ya, hubungan suami isteri itu penting. Tapi jangan sampai kata-kata pasangan dijadikan hukum mutlak tanpa timbang rasa.
Lebih menyedihkan, mak ayah turut jadi mangsa. Mereka yang bersusah payah membesarkan anak-anak, akhirnya terpaksa telan hakikat pahit.
Rumah yang dulu riuh dengan gelak tawa, kini sunyi. Bila raya, ada yang bagi alasan tak balik kampung. Kononnya sibuk, hakikatnya masih menyimpan dendam.
Merak Jalanan hairan, sanggup tak balik beraya semata-mata kerana ego dan nak jaga hati pasangan. Hati mak ayah? Ingat, masa kecil dulu, siapa yang ada di sisi? Mak ayah juga. Siapa yang berkongsi susah senang dengan kita? Mereka juga. Tapi bila dah ada pasangan terus lupa semuanya?
Realitinya, kalau pasangan pergi, bila-bila masa boleh cari pengganti. Tapi kalau mak ayah yang ‘pergi’, tidak akan ada penggantinya. Waktu itu, menangis air mata darah sekalipun, semuanya sudah terlambat.
Kita tidak akan selamanya muda dan ibu bapa juga tidak akan selamanya ada. Selagi mereka masih hidup, hargailah setiap peluang untuk berkumpul, bermaaf-maafan dan mengeratkan kembali hubungan yang mungkin pernah terlerai.


