GOMBAK - "Adik disahkan meninggal dunia di depan saya."
Itu luahan pilu abang kepada Allahyarham Adli Hakim Akberdin, 24, iaitu Ardy Suffian selepas mengetahui kemalangan maut menimpa empat penumpang kereta, termasuk adiknya di Kilometer (KM) 34, Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin di sini pada Jumaat.
Menurut Ardy, dia bergegas dari rumahnya di Shah Alam ke lokasi kejadian selepas rakan arwah menefonnya memaklumkan mengenai insiden berkenaan.
"Sampai di lokasi saya tengok dua penumpang kereta sudah meninggal dunia.
"Kemudian adik disahkan meninggal dunia di depan saya...perasaan sukar nak gambarkan, sedih," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Luah Ardy, Allahyarham Adli antara adik-beradik yang paling manja dan 'rileks' sekali.
"Arwah merupakan anak kelima dari tujuh beradik. Saya ada juga WhatsApp dengannya sebelum ini, tapi hanya perbualan biasa, tiada apa-apa yang nampak berubah," ujarnya.
Kongsinya lagi, sebelum kejadian Allahyarham bersama tiga rakannya yang lain baru selesai makan di Genting Highland dan sedang dalam perjalanan pulang ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).
Allahyarham Adli merupakan penuntut UIA di tahun akhir dalam jurusan Sarjana Muda Undang-Undang.
Difahamkan, jenazah Allahyarham Adli dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas Asar pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 2.07 pagi.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki dilaporkan maut manakala seorang wanita parah selepas kereta jenis Volkswagen yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori simen.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pelajar IPT maut, seorang parah kereta rempuh lori simen
Tiga maut nahas di Karak: 'Saya dapat panggilan adik kemalangan' - Abang
Tiga maut nahas di Karak: Rakan sifatkan mangsa ibarat keluarga
