3 Maut, 1 Parah Kereta Rempuh Lori Simen Di Karak

LocalCars
22 May 2026 • 11:50 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

3 Maut, 1 Parah Kereta Rempuh Lori Simen Di Karak

KUALA LUMPUR - Tiga individu maut manakala seorang wanita cedera parah selepas kereta dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori simen di Lebuhraya Karak berhampiran Kampung Sungai Chinchin, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 2.07 pagi.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

Menurut beliau, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Volkswagen yang dipercayai merempuh bahagian belakang lori simen berkenaan.

“Terdapat empat mangsa tersepit di dalam kenderaan itu. Seorang wanita berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di kepala serta patah kaki kiri, manakala tiga lelaki berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mereka kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 3.15 pagi,” katanya. 

Setakat ini, identiti semua mangsa yang maut masih belum didedahkan, manakala siasatan lanjut berhubung punca kejadian sedang dijalankan pihak berkuasa. - Getaran, 22 Mei 2026