'Adik keluar makan selepas sembahyang, pulang tidak bernyawa' - Kakak mangsa maut nahas

25 Jul 2026 • 2:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Adik keluar makan selepas sembahyang, pulang tidak bernyawa' - Kakak mangsa maut nahas
Alaganathan, Dineshvaran, Paranthaman, Kanabati, S Kiisven dan Mugilan maut dalam kemalangan pada awal pagi Sabtu.
Image from: 'Adik keluar makan selepas sembahyang, pulang tidak bernyawa' - Kakak mangsa maut nahas
Moganah menunjukkan gambar terakhir adiknya, Mugilan yang maut dalam nahas di Kilometer 86, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak Bentong pada awal pagi.

TEMERLOH – [KEMAS KINI] Hasrat untuk meluangkan masa bersama rakan selepas selesai menghadiri upacara sembahyang menjadi pertemuan terakhir buat pemuda berusia 25 tahun bersama lima rakannya maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 86, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak, Bentong awal pagi Sabtu.

Mangsa maut ialah V Mugilan, K Dineshvaran, 22; K Alaganathan, 21; A Kanabati Raja, 19; S Kiisven, 17; dan M Paranthaman, 16.

Kakak kepada Mugilan, Moganah, 33, berkata, sebelum kejadian adiknya bersama ahli keluarga menghadiri upacara sembahyang di Sungai Kawang sebelum keluar bersama rakan-rakannya.

Menurutnya, Mugilan dipercayai keluar untuk makan dan berbual bersama rakan termasuk seorang yang baru pulang dari Singapura selepas sekian lama tidak bertemu.

"Selepas sembahyang, mereka keluar untuk makan, berbual dan kami tidak tahu tidak tahu mereka pergi ke mana selepas itu.

"Saya langsung tidak sangka itu kali terakhir kami berjumpa kerana dia (Mugilan) kelihatan seperti biasa, ceria dan langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) disini pada Sabtu.

**media[3594285]**

Bercerita lanjut, Moganah berkata, keluarganya menerima berita mengenai kemalangan itu kira-kira jam 4.20 pagi sebelum dimaklumkan Mugilan, adalah antara enam mangsa yang maut dalam kejadian berkenaa

Ujarnya, seluruh ahli keluarga masih terkejut dengan berita tersebut, malah pemergian adik bongsu daripada empat beradik itu meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada mereka.

"Dia seorang yang baik, rapat dengan keluarga dan sentiasa membantu ibu dan kehilangannya benar-benar memberi tamparan hebat kepada kami.

"Lebih menyedihkan, dia meninggalkan seorang anak berusia dua tahun dan kami masih tidak percaya dia sudah tiada," luahnya dengan nada yang sedih.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, enam sahabat maut selepas kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori di KM 86, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayub berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa menaiki sebuah Toyota Camry yang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

Kesemua mangsa disahkan maut dalam kejadian berkenaan.

Jenazah Mugilan akan diuruskan selepas selesai proses bedah siasat dan tuntutan jenazah sebelum dikebumikan di Mentakab.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved