TEMERLOH – [KEMAS KINI] Hasrat untuk meluangkan masa bersama rakan selepas selesai menghadiri upacara sembahyang menjadi pertemuan terakhir buat pemuda berusia 25 tahun bersama lima rakannya maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 86, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak, Bentong awal pagi Sabtu.
Mangsa maut ialah V Mugilan, K Dineshvaran, 22; K Alaganathan, 21; A Kanabati Raja, 19; S Kiisven, 17; dan M Paranthaman, 16.
Kakak kepada Mugilan, Moganah, 33, berkata, sebelum kejadian adiknya bersama ahli keluarga menghadiri upacara sembahyang di Sungai Kawang sebelum keluar bersama rakan-rakannya.
Menurutnya, Mugilan dipercayai keluar untuk makan dan berbual bersama rakan termasuk seorang yang baru pulang dari Singapura selepas sekian lama tidak bertemu.
"Selepas sembahyang, mereka keluar untuk makan, berbual dan kami tak tahu mereka pergi ke mana selepas itu.
"Saya langsung tidak sangka itu kali terakhir kami berjumpa kerana dia (Mugilan) kelihatan seperti biasa, ceria dan langsung tak menunjukkan sebarang perubahan," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) disini pada Sabtu.
**media[3594285]**
Bercerita lanjut, Moganah berkata, keluarganya menerima berita mengenai kemalangan itu kira-kira jam 4.20 pagi sebelum dimaklumkan Mugilan, adalah antara enam mangsa yang maut dalam kejadian berkenaan.
Ujarnya, seluruh ahli keluarga masih terkejut dengan berita tersebut, malah pemergian adik bongsu daripada empat beradik itu meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada mereka.
"Dia seorang yang baik, rapat dengan keluarga dan sentiasa membantu ibu dan kehilangannya benar-benar memberi tamparan hebat kepada kami.
"Lebih menyedihkan, dia meninggalkan seorang anak berusia dua tahun dan kami masih tak percaya dia sudah tiada," luahnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, enam sahabat maut selepas kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori di KM 86, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Karak.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayub berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa menaiki sebuah Toyota Camry yang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.
Kesemua mangsa disahkan maut dalam kejadian berkenaan.
Mugilan akan disemadikan di Mentakab selesai proses bedah siasat.


