Adli jadi pengurus projek di usia muda

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 10:05 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Adli jadi pengurus projek di usia muda

SEJAK kecil, Muhammad Adli Ahmad Aziz, 24, melihat bapanya menguruskan pelbagai projek pembinaan hingga menimbulkan minat dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terutamanya bidang binaan.

Pemegang Diploma Teknologi Pembinaan dari Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang itu kini sudah lima tahun bertugas sebagai pengurus projek di syarikat milik bapanya.

Menurut pemuda yang mesra disapa Adli itu, selepas tamat belajar, dia terus membantu bapanya dengan menggalas tanggungjawab sebagai pengurus projek untuk pembinaan bangunan awam, swasta dan kerajaan.

“Kami menjalankan projek pembinaan seperti sekolah, masjid dan bangunan kerajaan termasuk membuat perkhidmatan membaiki serta menyelenggara.

“Tempoh masa yang diberikan untuk projek pembinaan adalah sekitar 24 bulan.

“Manakala bagi membaiki atau menyelenggara bangunan pula adalah selama enam bulan,” kata pemuda berasal dari Tasek Gelugor itu.

Tambah Adli, sebagai pengurus projek, antara tugas yang perlu digalas adalah memastikan projek pembinaan berjalan dengan lancar dan disiapkan dalam masa ditetapkan.

“Ini termasuk menguruskan bahan binaan, pekerja, merancang jadual kerja dan bekerjasama rapat dengan jurutera bagi memastikan projek tersebut menepati kehendak pelanggan.

“Tugas sebagai pengurus projek bukan sekadar beri arahan, tetapi kita juga perlu ada ilmu, kemahiran dan pengalaman,” ujar anak kelima daripada enam beradik itu.

Image from: Adli jadi pengurus projek di usia muda
ADLI (tengah) turut dijemput untuk memberi kata-kata semangat kepada pelajar teknologi pembinaan di Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Adli memberitahu, hanya dia seorang yang mengikut jejak langkah bapanya dalam bidang itu, dan menjadi orang harapan untuk meneruskan syarikat kontraktor milik keluarganya.

Bagi orang lain, bekerja di tapak pembinaan kurang selesa kerana perlu berpanas dan berhujan. Namun, Adli sangat seronok berkhidmat dalam bidang pembinaan kerana minat mendalam.

“Apabila melihat sebuah bangunan yang diusahakan telah siap dibina, saya rasa sangat seronok. Bayangkan, daripada kawasan lapang, kita berjaya bina bangunan hasil tangan kita sendiri.

“Pada masa sama, rasa sangat puas dan macam tidak percaya berjaya buat bangunan setelah mengharungi pelbagai cabaran dan kerja keras bersama pasukan.

“Paling saya rasa puas apabila dapat membangunkan fasiliti untuk orang ramai terutamanya sekolah dan masjid kerana dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat serta agama,” katanya yang sudah membangunkan kira-kira lima buah masjid.

Sementara itu, mengulas mengenai cabaran sebagai pengurus projek, Muhammad adli berkata, pertama sekali, dia perlu memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan klien.

“Dalam proses menyiapkan projek, saya juga ada halangan komunikasi dan bahasa kerana kebanyakan pekerja saya merupakan warga asing dari Bangladesh, mereka tidak memahami bahasa Melayu.

“Jadi, saya perlu meminta bantuan daripada rakan senegaranya untuk menterjemah apa yang saya cakap.

“Selain itu, cuaca yang kurang baik dan tidak menentu seperti hujan berpanjangan menyebabkan kerja-kerja terpaksa ditangguhkan, manakala lori juga tidak boleh bergerak seperti biasa untuk membawa bekalan bahan binaan,” katanya.

Sehubungan itu, Adli memberitahu, perkara tersebut mengganggu garis masa yang ditetapkan dan berisiko menyebabkan projek lewat disiapkan.

Walaupun begitu, dia tidak berputus asa dan berhasrat untuk menyambung legasi keluarga memandangkan bapanya sudah berada di usia emas, maka tiba masanya untuk dia mengambil alih.

“Saya perlukan sedikit masa lagi untuk belajar selok-belok bidang ini, sebelum bersedia menggalas tanggungjawab menguruskan sepenuh projek seperti yang dilakukan oleh bapa.

“Dalam lima tahun akan datang, saya juga merancang untuk membuka perusahaan perkakasan sebagai bisnes sampingan.

“Sebagai kontraktor, kita tidak selalu dapat projek kerana perlu melalui tender dan persaingan yang sangat sengit,” katanya.

The post Adli jadi pengurus projek di usia muda appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved