
Kota Kinabalu: Lepasan sekolah pondok dan tahfiz di Sabah kini mempunyai laluan lebih luas untuk menguasai kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penubuhan Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) di Kampung Marasimsim, Kota Marudu.
Yang Dipertua (YDP) Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), Datuk Sapawi Ahmad, berkata penubuhan KKIS hasil kerjasama Usia dan Institut Islam Darul Ridzuan (Ikdar) itu bertujuan melahirkan pelajar yang bukan sahaja menguasai ilmu agama dan akademik, malah mempunyai kemahiran teknikal yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.
Menurutnya, kerjasama Usia dan Ikdar yang terjalin sejak 2023 kini diterjemahkan menerusi usaha membangunkan KKIS, selaras dengan penekanan kerajaan terhadap TVET sebagai antara laluan pendidikan utama generasi muda.
“Kerjasama Usia dan Ikdar ini dapat dilaksanakan dengan jayanya menerusi penubuhan KKIS yang fokus memberikan bukan saja ilmu agama serta akademik tetapi juga kemahiran TVET kepada pelajar.
“Pelancaran Bangunan KKIS ini juga nanti akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada 22 September ini,” katanya ketika ditemui pada Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) anjuran Usia dan Ikdar yang dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Isnin Aliasnih, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelancaran itu nanti akan turut diserikan dengan pameran daripada beberapa institusi tahfiz dan pondok yang mengetengahkan bidang kemahiran termasuk teknologi dron dan robotik.
Pada masa sama katanya, usaha berkenaan penting bagi membuka ruang lebih luas kepada pelajar aliran agama untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan dan perkembangan teknologi.
Bercakap mengenai PPMI, Sapawi berkata, penguasaan Kecerdasan Buatan (AI) di kalangan guru-guru agama yang menyertai program itu bertujuan meningkatkan kemahiran profesional mereka khususnya dalam aspek pengajaran, sekaligus membantu memperkasakan lagi pelajar di KKIS nanti.
Menurutnya, perkembangan pesat teknologi khususnya AI, bidang digital, robotik dan dron turut menuntut golongan pelajar aliran agama diberikan pendedahan lebih luas terhadap kemahiran baharu.
“PPMI menjadi antara langkah awal bagi menyediakan tenaga pengajar KKIS sebelum kolej ini beroperasi sepenuhnya dan seramai 40 guru menjadi kumpulan awal, manakala hampir 200 guru lagi sudah menunggu untuk mengikuti program ini.
“Program ini memberi fokus khusus kepada pengurusan pendidikan Islam dan AI serta pengurusan AI bagi peringkat sijil dan diploma, malah menjadi yang pertama di Malaysia dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata, walaupun KKIS belum beroperasi sepenuhnya, langkah yang digerakkan menerusi PPMI ini menjadi inisiatif awal sebelum kolej beroperasi sepenuhnya, termasuk kemasukan pelajar secara penuh selepas semua keperluan seperti tenaga pengajar dilengkapi dalam tempoh terdekat.
“Pembangunan modal insan perlu diberi keutamaan kerana kekuatan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada ekonomi atau ketenteraan, tetapi keupayaan membentuk manusia yang berkualiti dan mampu menghadapi cabaran masa depan.
Sementara itu, Isnin yang ditemui menyambut baik usaha murni Usia dan Ikdar menerusi KKIS yang disifatkannya tepat dan memenuhi keperluan aspirasi rakyat Malaysia.
“Saya melihat penubuhan KKIS ini sebagai satu langkah yang amat strategik kerana kita tidak mahu anak-anak khususnya lepasan pondok atau tahfiz di Sabah hanya mempunyai pendidikan agama dan akademik saja, tetapi kita mahu mereka mempunyai kemahiran yang menjana peluang kerjaya dan ekonomi,” katanya.






