ADMM-Plus Perkukuh Peranan Sebagai Simbol Kestabilan & Keamanan Serantau – Khaled Nordin

LocalPolitics
1 Nov 2025 • 10:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

ADMM-Plus Perkukuh Peranan Sebagai Simbol Kestabilan & Keamanan Serantau – Khaled Nordin

Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM-Plus) bukan sekadar satu mekanisme untuk kerjasama pertahanan, tetapi menjadi kuasa yang benar-benar membawa keamanan dan simbol kestabilan dan keyakinan di rantau ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bahawa ADMM-Plus juga bukan sekadar mesyuarat untuk menteri-menteri pertahanan berjumpa tetapi merupakan satu platform untuk membincangkan perkara-perkara yang serius dan sensitif yang perlu diutarakan.

“Kita bukan sahaja dapat melihat pendirian negara-negara ADMM-Plus, tetapi untuk tujuan yang membolehkan perkara-perkara sensitif dan menjadi pertikaian dapat diuruskan dengan baik supaya pada akhirnya matlamat untuk mengekalkan keamanan dalam kawasan ini dapat dijayakan.

“Saya tidak menafikan bahawa ada perbezaan pandangan dalam kalangan negara anggota. Namun, apa yang menggembirakan ialah setiap ahli menyatakan pendirian mereka secara terus terang dan jujur dan melalui itulah kita dapat melihat dengan jelas perbezaan yang wujud.

“Melalui perkara itu, kita menerima hakikat bahawa memang ada cabaran dan kebimbangan yang tidak boleh kita abaikan. Semua itu bukan untuk kita nafikan, tetapi kita kena fikirkan bagaimana untuk menguruskannya

“Di sinilah semua berpendapat bahawa ADMM-Plus ini masih lagi relevan dan masih lagi diperlukan,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) dan ADMM-PLUS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu.

Ujarnya lagi, semua negara anggota bersetuju untuk terus menunjukkan kerjasama yang boleh memperkukuh dan mengangkat keamanan, kestabilan dan persefahaman antara satu sama lain di rantau ini.

Selain delegasi pertahanan dari negara anggota ASEAN, turut hadir di mesyuarat itu ialah lapan rakan dialog (ADMM-Plus) iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan , Rusia dan Amerika Syarikat.