Elak rasa terbeban, Timor-Leste diberi ruang sertai ASEAN ikut kemampuan

LocalPolitics
31 Oct 2025 • 7:53 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

ASEAN tidak mengharapkan Timor-Leste yang baru sahaja menjadi anggota yang ke-11 mencapai tahap penyertaan yang sama seperti negara-negara lain.

Sebaliknya menurut Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, anggota ASEAN lain memahami kedudukan dan kemampuan Timor-Leste yang masih baharu dalam kerjasama serantau, justeru pendekatan membantu secara berperingkat akan diutamakan.

Timor-Leste

image is not available

“Kita faham keadaan Timor-Leste dan kita tidak menjangka dan mengharapkan supaya dengan kemasukannya, maka dengan serta-merta ia mampu untuk menyertai pada tahap sebagaimana mana-mana negara terdahulu yang menyertai ASEAN.

“Jadi, kita mahu negara itu ikut rentak sendiri, tetapi (dalam masa yang sama) kita akan bantu. Kita tidak mahu Timor-Leste berasa terbeban selepas menyertai ASEAN, sebaliknya akan membantu negara itu bergerak mengikut kadar kesediaannya sendiri.

“Kita juga maklumkan bahawa apa sahaja latihan ketenteraan atau maritim boleh disertai bergantung kepada kesediaannya,” katanya dalam sidang media yang diadakan hari ini sempena ADMM-19, hari ini.

Namun begitu, Khaled menekankan bahawa penyertaan dalam aktiviti seumpama itu memberi peluang besar kepada Timor-Leste untuk memahami konteks kerjasama ASEAN serta membina rangkaian antara anggota.

Timor-Leste

image is not available

“Tetapi, bagi kebaikan mereka, adalah penting untuk mengambil peluang-peluang ini — bukan sahaja untuk memahami konteks kerjasama dalam ASEAN, tetapi juga untuk membina rangkaian (networking).

“Kepercayaan itu amat penting dalam konteks kerjasama seperti ini, kerana tanpa kepercayaan, tiada kerjasama yang akan kekal lama,” katanya.