ADN: Kurangkan kerenah birokrasi, percepat bantuan kepada golongan sasar

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 2:10 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

ADN: Kurangkan kerenah birokrasi, percepat bantuan kepada golongan sasar

SHAH ALAM, 22 JUN: Proses permohonan dan penyaluran bantuan bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor perlu dipermudah bagi memastikan manfaatnya sampai dengan cepat kepada golongan sasar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning S Preakas berkata aspek tersebut perlu diberi perhatian dengan mengurangkan kerenah birokrasi supaya tidak membebankan rakyat yang memerlukan bantuan.

Beliau menegaskan bantuan yang diumumkan akan lebih berkesan sekiranya proses permohonan dan penyaluran tersebut dilaksanakan secara cekap, pantas serta mesra rakyat.

"Kita perlu mengurangkan kerenah birokrasi dan mewujudkan proses yang lebih lancar supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan sasar dalam tempoh yang singkat.

“Kejayaan sesuatu pakej bukan hanya bergantung kepada jumlah peruntukan, tetapi keberkesanan penyampaiannya,” katanya ketika membahaskan pakej itu di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau turut mencadangkan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) diperluas kepada golongan yang terkesan dengan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

Sehubungan itu, Preakas mencadangkan Kerajaan Negeri membangunkan pangkalan data khusus bagi mengenal pasti pekerja yang kehilangan pekerjaan atau terjejas akibat perubahan industri.

Menurutnya, maklumat tersebut boleh digunakan untuk memadankan tenaga kerja dengan peluang pekerjaan baharu yang diwujudkan hasil peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) di Selangor.

“Kajian menunjukkan transformasi digital bukan saja memberi kesan kepada pekerjaan berkemahiran rendah, malah turut memberi impak kepada golongan profesional dan pengurusan.

“Langkah ini bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan pekerjaan baharu, malah memastikan pelaburan yang masuk ke negeri ini benar-benar memberi manfaat kepada anak Selangor,” katanya.

Selangor memperuntuk RM355.06 juta bagi melaksanakan pakej berkenaan meliputi dua fasa. Fasa pertama sebanyak RM145.8 juta meliputi tujuh inisiatif, manakala fasa 2 berjumlah RM209.26 juta melalui 15 inisiatif tambahan.

Pakej itu diperkenal bagi membantu rakyat, usahawan, petani, nelayan, pencari kerja dan pemain industri mendepani pelbagai cabaran disebabkan ketidaktentuan ekonomi global.

Di bawah pakej fasa dua, sebanyak RM20 juta diperuntuk menerusi inisiatif Teraju IKTISASS untuk memperkukuh TVET serta meningkatkan jumlah tenaga kerja profesional di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej itu berkata antara komponen utama pakej itu ialah penawaran kursus pensijilan AI bawah Google kepada 500 guru.

Selain itu, sebanyak 500 peserta akan ditawarkan pensijilan profesional industri, manakala 1,000 individu lagi akan menerima Pensijilan Kemahiran Malaysia.