
SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan Negeri disaran mewujudkan mekanisme pemantauan berkala bagi semua inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor supaya keberkesanan pelaksanaannya dapat dinilai secara menyeluruh dan impaknya terhadap rakyat dapat diukur dengan lebih jelas.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid berkata pakej berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai langkah sementara untuk menangani cabaran semasa, sebaliknya perlu diperkukuh dan diperluaskan.
Menurutnya, Selangor tidak terkecuali daripada tempias ketidaktentuan ekonomi global, termasuk kenaikan kos logistik yang menekan rakyat serta peniaga. Justeru, beliau menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri mengurangkan kadar sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 30 peratus selama enam bulan bagi membantu meringankan beban golongan terjejas.
“Namun, saya mencadangkan supaya peniaga tepi jalan turut dibantu dengan PBT perlu melaksanakan bancian menyeluruh. Kemungkinan ada dalam kalangan mereka terlibat dengan pemberhentian kerja dan terpaksa berniaga kecil-kecilan demi kelangsungan hidup.
“Meru mencadangkan bayaran permit dan lesen perniagaan dapat dikurangkan dalam membantu peniaga kecil tanpa kerenah birokrasi.
“Selain itu, operasi penguatkuasaan bagi membenteras secara agresif peniaga warga yang berniaga secara berleluasa perlu dilaksana PBT. Kita tidak boleh benarkan mereka berkembang kerana aktiviti ini boleh menutup peluang dan ekonomi rakyat tempatan,” katanya.
Beliau membahaskan pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Menurutnya, Gudang Makanan Selangor juga merupakan inisiatif penting bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi kepada rakyat, manakala Jualan Ehsan Rahmah (JER) terbukti memberi manfaat dengan menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“Maklum balas yang kita dapat dari lapangan, JER amatlah membantu dan memberi manfaat kepada rakyat kebanyakan bagi meringan kos sara hidup mereka,” katanya.
Katanya lagi, usaha Kerajaan Negeri memperkukuhkan sektor pertanian, penternakan, akuakultur dan industri makanan tempatan merupakan satu langkah yang sangat strategik.
“Selangor tidak boleh terlalu bergantung kepada bekalan luar. Kita perlu meningkatkan keupayaan pengeluaran makanan tempatan.
“Selain itu, kita perlu memperkukuh ekosistem agromakanan dan membantu petani serta penternak meningkatkan produktiviti adalah usaha yang dipuji dan tindakan yang tepat,” katanya.
Kerajaan Negeri menawarkan pengurangan kadar sewa premis PBT sebanyak 30 peratus selama enam bulan, bermula Julai hingga Disember 2026 di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata ia bagi membantu peniaga menghadapi kesan krisis bekalan dan tenaga global melibatkan semua 12 PBT di negeri ini dan dijangka memanfaatkan 21,234 peniaga.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenalkan sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.
Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran kenaikan kos yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.






