ADN Meru cadang tambah dua lagi PPS, tampung jumlah penduduk tinggi

12 Dec 2022 • 4:42 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 12 DIS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru berhasrat menambah dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir kilat di kawasan itu.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhta berkata cadangan itu bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir, selain menampung jumlah penduduk yang semakin meningkat.

“Di Meru sekarang kita ada tiga PPS. Kekangan kita adalah kita mempunyai penduduk yang ramai tetapi PPS sedikit.

“Jadi, kami sedang merisik dua lagi PPS baharu iaitu di sekolah agama di Meru dan sekolah agama di Kapar,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Fakhrulrazi berkata pihaknya kini lebih bersedia menghadapi banjir, terutamanya selepas kejadian banjir besar yang berlaku di Selangor tahun lalu.

Menurutnya, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah menerima taklimat dan kursus khas banjir sebagai persediaan menghadapi bencana itu.

“Saya harus akui, tahun lalu pengurusan banjir kita tidak terurus dan kelam kabut kerana kebetulan bukan hanya di Meru sahaja yang banjir.

“Jadi, kita belajar dari pengalaman. Kali ini kita lebih bersedia dan saya juga lihat komitmen yang baik daripada agensi berkaitan,” katanya.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di Selangor membabitkan Petaling, Klang dan Sepang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini turut meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November, yang membawa kepada bencana banjir pada akhir tahun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved