Aduan cerun Ukay Perdana: Pemilik bertanggungjawab selenggara tembok penahan

8 Jul 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Aduan cerun Ukay Perdana: Pemilik bertanggungjawab selenggara tembok penahan

SHAH ALAM, 8 Julai: Pemilik hartanah di Ukay Perdana yang mempunyai tembok penahan di kawasan cerun diingatkan supaya menyelenggara struktur itu secara berkala demi keselamatan penduduk sekitar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin berkata setiap cerun mempunyai pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraannya, sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat swasta atau individu, bergantung kepada status pemilikan kawasan.

"Berdasarkan aduan yang diterima, tembok penahan di lokasi berkenaan adalah milik penghuni rumah di bahagian atas.

"(Jadi) Mereka bertanggungjawab memastikan struktur itu berada dalam keadaan baik, termasuk memastikan sistem saliran berfungsi dengan sempurna dan pemeriksaan berkala dilaksanakan," katanya kepada Media Selangor.

Sebelum ini, Mohd Kamri menerima aduan penduduk mengenai keadaan cerun yang dipenuhi pokok di beberapa lokasi sekitar Ukay Perdana sehingga dikhuatiri boleh mengancam keselamatan komuniti.

Image from: Aduan cerun Ukay Perdana: Pemilik bertanggungjawab selenggara tembok penahan
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Antara aduan dibangkitkan ialah sedikit mendapan tanah di hadapan sebuah rumah di Jalan UP3/7B, selain batu blok tembok penahan yang didapati membonjol berbanding keadaan biasa sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk.

Beliau berkata pemilik hartanah juga perlu memastikan kawasan tembok penahan sentiasa bersih daripada semak samun dan pokok yang boleh menjejaskan struktur serta mengganggu sistem pengaliran air.

"Langkah penyelenggaraan yang berterusan penting bagi mengelakkan risiko kepada komuniti berhampiran dan memastikan sistem saliran tidak tersumbat," ujarnya.

Susulan aduan itu, Mohd Kamri berkata beliau telah meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan notis kepada pemilik terlibat supaya tindakan segera dapat diambil.

"Saya juga meminta Persatuan Penduduk memainkan peranan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemilik hartanah mengenai tanggungjawab mereka untuk menyelenggara tembok penahan dan cerun masing-masing," katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved