Adun Kajang Hulur Sumbangan Kepada Pelumba MotoMini

LocalSports
21 Apr 2026 • 10:26 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Adun Kajang Hulur Sumbangan Kepada Pelumba MotoMini

Sikap prihatin dan komitmen terhadap pembangunan bakat muda terus dibuktikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, YB David Cheong Kian Young, apabila tampil menghulurkan bantuan kewangan kepada pelumba muda berbakat, Rayyan Thaqif, yang kini bersaing dalam saingan Motomini 160 Championship.

Usaha murni ini wajar diberikan pujian kerana ia menunjukkan bahawa wakil rakyat bukan sahaja memberi tumpuan kepada isu pentadbiran dan kebajikan masyarakat, malah turut mengambil berat terhadap pembangunan sukan permotoran yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

Bantuan seperti ini amat besar maknanya buat Rayyan Thaqif dan keluarganya. Dunia perlumbaan memerlukan kos yang tinggi merangkumi penyelenggaraan jentera, kelengkapan keselamatan, latihan serta perbelanjaan ke kejohanan. Dengan adanya sokongan daripada YB David Cheong, ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban dan memberi ruang kepada Rayyan untuk lebih fokus mengembangkan bakatnya di litar.

Pada masa sama, tindakan ini turut memberi manfaat besar kepada YB sendiri sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat dan memahami keperluan golongan muda. Sokongan terhadap atlet muda mencerminkan imej seorang pemimpin progresif yang melihat sukan sebagai medium pembangunan insan, perpaduan dan masa depan negeri.

Lebih penting lagi, penglibatan ahli politik dalam kejohanan seperti Motomini 160 Championship amat diperlukan. Sokongan daripada pemimpin mampu membuka mata banyak pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta dan penaja lain untuk bersama-sama membantu perkembangan sukan ini. Bila wakil rakyat turun padang menyokong, sesebuah kejohanan akan mendapat perhatian lebih luas dan peluang pembangunan juga menjadi lebih cerah.

Motomini 160 Championship sendiri merupakan platform penting dalam melahirkan pelumba muda negara sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi. Jika lebih ramai pemimpin tampil menyokong, tidak mustahil Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Semoga usaha baik YB David Cheong Kian Young ini menjadi contoh kepada lebih ramai pemimpin lain agar terus menyantuni bakat-bakat muda tempatan. Sokongan hari ini mungkin menjadi pencetus lahirnya juara negara pada masa akan datang.

Teruskan bersama Two Wheels…!!!

The post Adun Kajang Hulur Sumbangan Kepada Pelumba MotoMini appeared first on TW Media.

View Original Article