Puluhan tahun bergaul dan berkhidmat untuk masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, termasuk menghulurkan bantuan kepada rumah ibadat Islam serta Kristian di Pitas, menjadi antara faktor membuka hati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah, 58, untuk menjadikan Islam sebagai pegangan hidup.

Memetik laporan Berita Harian, Ruddy berkata, tanggungjawab sebagai wakil rakyat memerlukannya untuk mendekati seluruh lapisan masyarakat serta membantu mereka tanpa membezakan agama, termasuk memberi perhatian kepada masjid, surau dan gereja di kawasan yang diwakilinya.
Menurutnya, usaha membantu rumah ibadat sudah dilakukan sejak sebelum bergelar wakil rakyat dan diteruskan selepas memperoleh mandat daripada masyarakat.
“Sebelum menjadi wakil rakyat, sama ada gereja, masjid atau surau, kita bantu sedaya mampu apabila mereka memohon sumbangan.
“Setelah menjadi wakil rakyat pula, saya terus menyantuni semua surau, masjid dan gereja dengan memberi tabung bantuan pada setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 1,001 gereja, selain surau dan masjid di Pitas, menerima sumbangan RM1,000 setiap tahun.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah itu berkata, selain menyediakan bantuan kepada rumah ibadat, beliau turut menganjurkan majlis berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri, di samping menyumbangkan lembu korban kepada surau serta masjid di Pitas.
Dalam pada itu, Ruddy berkata, meskipun sebelum ini berpegang kepada kepercayaan pagan, keprihatinannya terhadap masyarakat Islam mendorong beliau mengambil langkah melantik sembilan guru Fardu Ain bagi mengajar al-Quran di Pitas.
Katanya, setiap guru berkenaan menerima bayaran RM1,000 sebulan yang ditanggung menggunakan wang peribadinya sendiri.
Selain itu, penyediaan van jenazah secara percuma untuk kegunaan masyarakat Islam dan Kristian serta sumbangan kain kafan di surau turut menjadi antara pengalaman yang secara beransur-ansur membuka hatinya untuk memilih Islam.
“Dengan adanya sumbangan kepada surau dan masjid, bantuan guru Fardu Ain, serta kemudahan van jenazah untuk umat Islam dan Kristian yang disediakan secara percuma untuk kegunaan bersama, serta kain kafan di setiap surau, perkara-perkara inilah yang membuatkan hati saya terbuka.
“Mungkin saatnya sudah tiba. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” ujarnya.
Menurut Ruddy, keputusan tersebut dibuat selepas lebih 10 tahun beliau memikirkan agama yang mahu dianutinya. Dalam tempoh itu, beliau turut kerap mengikuti ceramah berkaitan Islam dan mempelajari tatacara agama berkenaan.
Beliau menegaskan, keputusan untuk memeluk Islam tidak mempunyai kaitan dengan politik, keluarga mahupun sebarang tawaran daripada mana-mana pihak, sebaliknya dibuat dengan keikhlasan hati selepas menerima hidayah.
Ruddy berkata, isterinya serta lima daripada enam anaknya terlebih dahulu memeluk Islam sebelum beliau membuat keputusan sama.
Artikel lain: Adam Corrie fokus bekalan akhirat, bantu lebih 30 individu peluk Islam -“Anggap sebagai tanggungjawab..”
“Saya terbuka hati untuk memilih Islam. Ini bukanlah paksaan mana-mana pihak, sebaliknya ikhlas daripada hati saya, isteri dan anak-anak saya.
“Sudah cukup lama isteri saya menanti. Selama 10 tahun beliau mengajak saya masuk Islam, tetapi ketika itu hidayah belum sampai. Namun apabila tiba masanya dan hidayah itu sampai, hati saya terbuka tanpa sebarang paksaan.
“Saya juga membina sebuah surau baru-baru ini yang siap dua bulan lepas dalam kawasan rumah saya,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, penghijrahan tersebut tidak menjejaskan hubungan dengan keluarga besarnya atau masyarakat Kristian di Pitas, yang sudah diberikan penjelasan mengenai keputusannya itu lebih awal.
Sumber: Berita Harian (Rafiqah Dahali)


