
KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis yang dipecat oleh Bersatu, memberi bayangan beliau akan menyertai rumah baharu sekali gus menolak tawaran menyertai Umno.
Abdul Razak yang juga Timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah turut memberi bayangan bakal menyertai parti baharu yang dikatkan dengan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kekal dengan Perikatan Nasional (PN).
“Setakat ini, kita ucap terima kasihlah pada yang simpati dengan kita, yang pelawa untuk kita untuk masuk rumah dia.
“Walau apa pun kita ucap terima kasih. Tetapi, yang sebenarnya kita dah ada rumah baharu kita. Insyaallah, dalam masa terdekat kita akan umum parti mana yang kita nak pergi dan Insyaallah kita masih kekal dengan bersama dengan PN,” katanya, lapor FMT.
Beliau mengulas mengenai kesediaan Umno untuk menerima mana-mana individu termasuk pimpinan dan ahli Bersatu yang dipecat serta digantung daripada parti itu tanpa sebarang syarat.
Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pendirian berkenaan mencerminkan keterbukaan parti dalam menyatukan kembali kelompok yang pernah bersama perjuangan Umno sebelum ini.
Asyraf berkata demikian ketika beberapa pemimpin Bersatu berdepan tindakan disiplin termasuk dipecat dari parti dan digantung.
Pada Jumaat, Bersatu dalam satu kenyataan memaklumkan mengenai pemecatan dua Ahli Dewan Undangan (Adun) parti itu iaitu Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).
Turut digantung ialah lima Ahli Parlimen iaitu Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Sementara itu, Abdul Razak mendakwa pemecatannya berpunca daripada hubungannya yang rapat dengan Hamzah dan tindakan itu sebahagian usaha dalaman didakwanya cuba melemahkan kekuatan PN di Kedah.
Mengulas kedudukannya, Abdul Razak berkata beliau kekal menjalankan tugas sebagai Adun Sungai Tiang, Timbalan Speaker DUN Kedah serta pengerusi PAC negeri, selain masih menyokong kerajaan negeri.
Semalam, Abdul Razak menegaskan statusnya sebagai wakil rakyat masih kekal dan beliau akan menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah. - 10 Mei, 2026
The post Adun Sungai Tiang yang dipecat Bersatu tolak pelawaan sertai Umno appeared first on Scoop.






