
KUALA LUMPUR – Status 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang diluluskan dalam persidangan pertengahan tahun lalu masih belum jelas apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum memberi sebarang petunjuk, sama ada proses persempadanan semula dapat diselesaikan sebelum pilihan raya negeri diadakan.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, SPR masih belum mengumumkan sama ada proses persempadanan semula itu dapat disiapkan sebelum pilihan raya negeri diadakan.
“Sudah berbulan-bulan berlalu tanpa sebarang makluman sama ada 17 kerusi baharu itu dapat diwujudkan sebelum pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pra-majlis sempena persidangan DUN di Kuching.
Menurut beliau, DUN Sarawak sebelum ini telah meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan penambahan 17 kerusi baharu pada persidangan 7 Julai tahun lalu.
Katanya, perkara itu tidak boleh dibuka atau dipertimbangkan semula dalam persidangan kali ini, selaras dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri.
“Apa-apa perkara yang telah diputuskan oleh Dewan dalam sesi yang sama tidak boleh dibuka semula dan dipertimbangkan semula mengikut Peraturan Mesyuarat 32(3),” katanya.
Jelas Mohamad Asfia, usul berkenaan diluluskan secara sebulat suara susulan ketiadaan kedua-dua wakil rakyat pembangkang semasa persidangan berlangsung.
Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat DUN, beliau berkata, sebarang perkara yang telah diputuskan oleh Dewan dalam sesi semasa tidak boleh dipertimbangkan semula kecuali melalui usul substantif untuk pembatalan keputusan.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Asfia berkata, SPR masih mempunyai masa dari sudut perlembagaan untuk menyelesaikan proses persempadanan semula tersebut.
Namun, katanya, SPR perlu mengambil kira bahawa Sarawak kini sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya negeri.
“SPR perlu peka bahawa Sarawak sedang bersiap sedia untuk pilihan raya negeri,” katanya.
Tegas beliau, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mempunyai wakil dalam SPR.
“GPS tidak mempunyai ahli atau wakil dalam SPR. Saya dimaklumkan hanya terdapat seorang ahli dari Sarawak dan beliau bukan daripada GPS.
“SPR perlu bersikap dinamik, proaktif dan bertenaga kerana dalam dunia yang bergerak pantas hari ini, semua pihak perlu bergerak ke hadapan untuk terus relevan,” tambahnya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SPR mempunyai kuasa muktamad dalam menentukan lokasi bagi 17 kerusi DUN baharu yang dicadangkan.
Katanya, tanggungjawab mengenal pasti dan menetapkan sempadan kawasan pilihan raya terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa SPR selepas Parlimen meluluskan pindaan perlembagaan berkaitan walaupun penambahan kerusi itu adalah cadangan kerajaan negeri.
“Latihan persempadanan semula terakhir di Sarawak dilakukan pada 2015, jadi kini adalah masa yang sesuai untuk semakan dibuat,” katanya. - Getaran, 9 Mei 2026






