Advancecon menang proses timbang tara RM7 juta berhubung projek ECRL dengan CCC

07/10/2025 - 18:05
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Okt - Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) mengarahkan China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) untuk melunaskan tuntutan adjudikasi sebanyak RM7.04 juta kepada anak syarikat Advancecon Holdings Berhad iaitu Advancecon Infra Sdn Bhd berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Advancecon berkata, bayaran itu perlu dilunaskan dalam tempoh 28 hari daripada tarikh keputusan tersebut.
Selain itu, CCC turut diarahkan menanggung kos prosiding adjudikasi berjumlah RM361,508.20, yang merangkumi yuran dan perbelanjaan adjudikator sebanyak RM50,006.20, yuran pentadbiran AIAC sebanyak RM10,800, kos pendaftaran dan pelantikan adjudikator sebanyak RM702 dan kos Advancecon Infra sebanyak RM300,000.
"CCC juga diarahkan membayar balik Security in Advance sebanyak RM30,900 kepada AISB, serta kos tambahan sebanyak RM300,702 dalam tempoh 28 hari daripada tarikh keputusan adjudikasi tersebut.
"Sekiranya CCC gagal mematuhi keputusan itu, syarikat tersebut akan dikenakan faedah 5% setahun ke atas jumlah tertunggak sebanyak RM7.37 juta sehingga penyelesaian penuh dibuat," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Advancecon menjelaskan, keputusan adjudikasi itu adalah mengikat selagi tidak diketepikan oleh Mahkamah Tinggi mengikut peruntukan Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (CIPAA) 2012.
Syarikat juga menegaskan, keputusan tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan dan aliran tunai kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Advancecon akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan keputusan adjudikasi itu, selaras dengan keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.- DagangNews.com
standard

