CelcomDigi berdepan tuntutan timbang tara RM72.6 juta daripada IMMA Technology

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2025 • 5:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CelcomDigi berdepan tuntutan timbang tara RM72.6 juta daripada IMMA Technology

image is not available

06/10/2025 - 17:39

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Okt - CelcomDigi Berhad menerusi CelcomDigi Mobile Sdn Bhd berdepan tuntutan timbang tara melibatkan RM72.59 juta daripada IMMA Technology Sdn Bhd (IMMA).

Kumpulan itu berkata, pihaknya menerima notis bertarikh 1 Oktober 2025 yang berpunca daripada dakwaan pelanggaran perjanjian perkhidmatan bertarikh 21 Mac 2022.

Katanya, tindakan timbang tara itu berkaitan dengan perkhidmatan pendahuluan kredit (CA) di bawah perjanjian berkenaan.

"Di bawah terma asal, pembayaran kepada IMMA ditetapkan berdasarkan perkongsian hasil selepas pelancaran perkhidmatan, tanpa sebarang bayaran pendahuluan.

"Bagaimanapun, pelancaran perkhidmatan tersebut ditangguhkan berikutan proses penggabungan Celcom dan Digi serta satu permintaan untuk cadangan (RFP) baharu yang dikeluarkan pada November 2023 dengan skop diperluas merangkumi pelanggan kedua-dua jenama.

"Dalam berkenaan, IMMA menuntut ganti rugi yang didakwa berjumlah RM72.59 juta, atau secara alternatif, RM28.28 juta bagi perbelanjaan yang didakwa telah dibazirkan," katanya.

CelcomDigi berkata, walaupun IMMA sudah dijemput untuk mengambil bahagian dalam RFP baharu itu, syarikat berkenaan tidak menyertainya.

Kumpulan itu berkata, pihaknya mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan tuntutan tersebut dan akan berbuat demikian dengan tegas.

"Tindakan timbang tara itu dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap operasi harian atau nilai aset bersih sesaham CelcomDigi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025," katanya.

Katanya, sebarang perkembangan material berhubung kes itu akan diumumkan kepada Bursa Malaysia dari semasa ke semasa.- DagangNews.com

standard