PROGRAM pendidikan literasi kewangan dan kelestarian alam sekitar, AEIOU Seeds for Life anjuran Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mencatatkan rekod penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya dengan menerima lebih 90,000 penyertaan pelajar bagi Musim Ke-8.
Program yang mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) itu turut mengekalkan jangkauan hampir 40,000 pelajar di seluruh negara.
Sejak diperkenalkan pada 2015, AEIOU Seeds for Life telah memberi manfaat kepada lebih 188,000 pelajar daripada 596 sekolah, sekali gus memperkukuh usaha memupuk kesedaran pengurusan kewangan dan amalan kehidupan lestari dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, dengan sokongan KPM, program tersebut mencerminkan komitmen bersama sektor awam dan swasta dalam melengkapkan generasi muda dengan ilmu, nilai dan kemahiran praktikal untuk menghadapi masa depan.
"Literasi kewangan bukan sekadar tentang menyimpan atau menguruskan wang.
"Ia juga berkaitan dengan kebolehan membuat keputusan yang bijak dan bertanggungjawab, serta memahami bahawa pilihan yang kita lakukan boleh memberi kesan kepada diri sendiri, masyarakat dan alam sekitar," katanya ketika berucap merasmikan Majlis penutupan dan penyampaian hadiah program tersebut, di HGH Convention Centre di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum berkata, musim kali ini merupakan penganjuran paling berimpak dengan penyertaan tertinggi dalam sejarah program.
"Kami juga memperkenalkan pengalaman pembelajaran inovatif seperti Cabaran Eco-Pitching yang membantu pelajar memahami bahawa keputusan kewangan yang bertanggungjawab perlu seiring dengan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian," katanya.
Bagi memperkukuh modul pembelajaran, Alliance Bank bekerjasama dengan Jane Goodall's Roots & Shoots Malaysia untuk memperkaya kurikulum biodiversiti program ini.
Kerjasama berkenaan sekali gus mengukuhkan hubungan antara tanggungjawab kewangan dan pemeliharaan alam sekitar.
Kemuncak program pada 18 November lalu menyaksikan 43 finalis dari seluruh negara bersaing merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM35,000 menerusi Cabaran Eco-Comic Strip dan Cabaran Eco-Pitching.
Kumpulan Project Pollux dari SMK Kompleks Gong Badak, Terengganu muncul juara Cabaran Eco-Pitching yang julung kali dianjurkan, manakala Heaven Shine Bernadette Benedict dari SK Parapat Darat, Sabah menjuarai Cabaran Eco-Comic Strip.
Susulan kejayaan musim kali ini, Alliance Bank komited memperluaskan program berkenaan ke lebih banyak sekolah dan komuniti bagi melahirkan generasi yang berdaya tahan dari segi kewangan, bertanggungjawab secara sosial serta mempunyai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.




