
PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) menawarkan Bantuan Pelepasan Banjir merangkumi pilihan moratorium pinjaman sehingga enam bulan, pengubahsuaian bayaran balik pinjaman serta pengecualian yuran dan caj bagi meringankan beban kewangan pelanggan dan perniagaan yang terjejas akibat bencana itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, pihak bank memahami cabaran yang dihadapi pelanggan serta warga kerja susulan kejadian banjir baru-baru ini dan bersedia menghulurkan sokongan pada saat amat diperlukan.
“Kami menggesa mereka yang terjejas untuk menghubungi pihak bank bagi membincangkan keadaan semasa serta sokongan yang tersedia menerusi program Bantuan Pelepasan Banjir kami,” katanya dalam kenyataan.
Permohonan bagi bantuan tersebut dibuka sehingga 31 Mac 2027 dan menawarkan pelepasan bayaran bagi kemudahan pinjaman konvensional serta pembiayaan Islam yang layak merangkumi segmen Perbankan Pengguna, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Komersial serta Korporat.
Selain itu, Alliance Bank turut mengecualikan yuran dan caj bagi perkhidmatan terpilih seperti penggantian kad debit, kad mesin juruwang automatik (ATM), buku cek dan buku simpanan yang hilang atau rosak akibat banjir.
Pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Khidmat Pelanggan bank atau berhubung terus dengan pengurus perhubungan masing-masing, dengan setiap permohonan akan dinilai berdasarkan kes demi kes. – UTUSAN
The post Alliance Bank tawar bantuan banjir, moratorium pinjaman sehingga enam bulan appeared first on Utusan Malaysia.





