
Baru-baru ini, AEON Bank (M) Bhd secara rasminya telah melancarkan bank digital Islam, sekaligus menjadi bank digital patuh syariah pertama di Malaysia yang menawarkan penyelesaian perbankan digital yang selamat, ringkas dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.
Pada masa ini, AEON Bank menawarkan perkhidmatan produk digital perbankan peribadi seperti Akaun Simpanan-i (Savings Account-i) dan Savings Pot dengan ciri pengoptimuman yang boleh diperibadikan, pengurusan bajet dan banyak lagi ciri-ciri menarik pada masa akan datang.
Para pelanggan yang mengaktifkan akaun mereka boleh terus mengakses Kad Debit-i AEON Bank x Visa maya mereka dan juga memohon Kad Debit-i fizikal.
Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, bank itu menyasar untuk menawarkan perkhidmatan kewangan kepada pelanggan secara menyeluruh, termasuklah mereka yang berada di kawasan pedalaman.
“Pelancaran AEON Bank pada hari ini merupakan pencapaian yang sangat bermakna untuk Kumpulan AEON (AEON Group) di Malaysia, khususnya selepas 40 tahun kewujudannya di negara ini.
“Matlamat kami ialah untuk menawarkan penyelesaian perbankan digital patuh syariah yang selamat, mudah dan inklusif kepada semua rakyat Malaysia. Kini, kami berada dalam fasa awal pelancaran dan akan terus memperkenalkan lebih banyak produk perbankan dan ciri aplikasi untuk pelanggan perbankan peribadi.

"AEON Bank juga komited untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang boleh diakses oleh semua, termasuk untuk komuniti yang berada di kawasan pedalaman, yang kurang mendapat liputan perbankan serta mereka yang sebelum ini sukar untuk mendapat perkhidmatan perbankan," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Raja Teh Maimunah berkata, dari semasa ke semasa, pihaknya akan terus memperluas produk dan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan termasuklah bagi usahawan perniagaan mikro.
“Dari semasa ke semasa, kami juga akan terus memperkembang produk dan perkhidmatan kami kepada lebih ramai pelanggan termasuklah bagi usahawan perniagaan mikro.
“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 2.5 juta pelanggan AEON Group ketika ini akan menjadi pelanggan AEON Bank,” ujar beliau.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, Pengarah Urusan AEON Co. (M) Bhd, Naoya Okada dan Pengerusi AEON Financial Service Co Ltd Japan, Shunsuke Shirakawa.

Eksklusif sepanjang tempoh kempen pelancaran, para pelanggan AEON Bank yang mengaktifkan akaun mereka layak menikmati bonus pendaftaran 3,000 mata ganjaran AEON dan tiga kali ganda mata ganjaraan AEON menerusi transaksi yang menggunakan Kad Debit-i AEON Bank x Visa, di samping kadar keuntungan 3.88 peratus setiap tahun.
Selain itu, para pelanggan yang merupakan ahli Program Mata Ganjaran AEON dapat memautkan keahlian mereka dengan aplikasi AEON Bank (M), justeru membolehkan mereka untuk menikmati kelebihan dan ganjaran tambahan apabila membuat pembayaran di kedai dan rakan perniagaan Kumpulan AEON, termasuk AEON Mall, AEON Supermarket, AEON Wellness, La Boheme Bakery, AEON Fantasy dan banyak lagi.

Mata ganjaran AEON yang dikumpul kemudiannya boleh ditebus kepada nilai ganjaran tunai yang akan dikreditkan ke dalam akaun AEON Bank (M) pelanggan tersebut.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web AEON Bank dan ikuti akaun rasmi AEON Bank di media sosial. - Getaran, 1 Jun 2024
Foto : AEON Bank


