AFA Prime sedang jalankan projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak dan mitigasi banjir LPT1

LocalBusiness & Finance
20 May 2025 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AFA Prime sedang jalankan projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak dan mitigasi banjir LPT1

image is not available

20/05/2025 - 11:10

Projek Pelebaran KLK yang dijadual bermula pada suku kedua 2025, dan Projek Mitigasi Banjir yang kini sedang berjalan di sepanjang LPT1 Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Mei – AFA Prime Berhad, syarikat yang mengendalikan Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), sedang melaksanakan dua projek utama bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kesesakan.

Dua inisiatif itu merangkumi Projek Pelebaran KL-Karak yang dijadual bermula pada suku kedua 2025 dan Projek Mitigasi Banjir di sepanjang LPT1 yang sedang berjalan.

Projek pelebaran KL-Karak melibatkan jajaran sepanjang KM19.2 hingga KM64.5, antara Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong, dengan tempoh pembinaan selama 48 bulan.

Kerja-kerja seperti pemotongan cerun, penaiktarafan sistem perparitan, mitigasi banjir, dan pembinaan tembok penahan sedang dilaksanakan.

Ia turut merangkumi penambahan satu lorong bagi setiap arah serta pelebaran bahu jalan daripada 2.5 meter kepada 3 meter, bagi membolehkan lorong pintar diaktifkan ketika waktu puncak.

Sebanyak lapan petak kecemasan baharu akan dibina untuk memudahkan pengalihan kenderaan rosak dan mengurangkan risiko kemalangan lain. Pencahayaan malam juga akan dipertingkatkan dengan pemasangan lampu sorot dan lampu sedia ada akan disusun semula bagi pencahayaan lebih berkesan.

Pengarah Eksekutif AFA Prime Berhad, Ir. Vijayaraj berkata, projek ini bukan sekadar menambah kapasiti lebuh raya, tetapi juga memastikan ia lebih selamat, cekap, dan tahan lama.

image is not available
Pengarah Eksekutif AFA Prime Berhad, Ir. Vijayaraj

"Kami juga melaksanakan pemantauan masa nyata dan pelan tindak balas kecemasan supaya pengguna kekal selamat walaupun ketika kerja pembinaan sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.

AFA Prime turut menjalankan projek mitigasi banjir di sepanjang LPT1, termasuk penilaian risiko, penaiktarafan sistem perparitan, dan penambahbaikan infrastruktur untuk mengurangkan risiko banjir kilat akibat perubahan iklim.

Syarikat itu melantik Edgenta Propel Berhad sebagai rakan pengurusan trafik dan menyediakan aset keselamatan seperti penghadang, kon, papan tanda, serta pasukan rondaan.

Papan tanda elektronik(VMS) akan dipasang sepanjang laluan untuk menyampaikan maklumat trafik dan notis kecemasan secara masa nyata, disokong oleh kemas kini media sosial rasmi AFA Prime.

KLK dan LPT1 merupakan laluan utama yang menghubungkan Lembah Klang dan Pantai Timur.

AFA Prime komited untuk menyiapkan kedua-dua projek ini mengikut jadual dan memastikan ia memenuhi tahap keselamatan dan kualiti tertinggi.- DagangNews.com

standard