AFC kesal tentang pelan pelaburan FIFA

WorldFootball
29 Jul 2026 • 8:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AFC kesal tentang pelan pelaburan FIFA

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melahirkan rasa kecewa terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas badan induk itu mengesahkan rancangan menjual pegangan dalam kejohanan-kejohanan utamanya tanpa terlebih dahulu mendapatkan pandangan konfederasi tersebut.

FIFA semalam mengumumkan cadangan menubuhkan sebuah anak syarikat komersial bagi menguruskan penganjuran kejohanan, yang menurut laporan media Britain dikatakan mempunyai kaitan dengan keluarga besar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Dalam satu kenyataan hari ini, AFC menegaskan, pihaknya tidak dirujuk mengenai cadangan berkenaan dan menyifatkan tindakan mendedahkan perkara itu kepada umum sebelum dibincangkan melalui saluran tadbir urus yang sewajarnya sebagai sesuatu yang mengecewakan.

“AFC tidak dirujuk mengenai cadangan tersebut dan kecewa apabila isu yang begitu penting didedahkan kepada umum sebelum keluarga AFC diberi peluang meneliti serta membincangkannya menerusi saluran tadbir urus yang sesuai dan telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut badan induk bola sepak Asia yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu, walaupun AFC mengiktiraf kepentingan meneroka pendekatan baharu bagi memperkukuh masa depan bola sepak dunia, sebarang inisiatif berskala besar perlu berteraskan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan serta proses perundingan yang bermakna.

Sementara itu, pengumuman FIFA turut mengundang bantahan keras daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang menegaskan bahawa Piala Dunia bukan aset untuk diperdagangkan.

Persatuan Bola Sepak England (FA) turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap cadangan berkenaan.

AFC yang mewakili 47 negara anggota termasuk Australia, China, Jepun dan Arab Saudi berkata, semua pihak berkepentingan seharusnya diberikan maklumat yang mencukupi serta tempoh yang munasabah untuk menilai cadangan itu secara menyeluruh.

Dalam pada itu, FIFA memaklumkan anak syarikatnya, FIFA Forward Enterprise (FFE), akan mendapatkan pelabur jangka panjang yang berminat membeli kepentingan minoriti tanpa kuasa kawalan dalam syarikat tersebut.

Bagaimanapun, FIFA menegaskan ia akan terus mengekalkan kawalan penuh terhadap FFE selain memiliki kuasa eksklusif dalam aspek tadbir urus bola sepak, penganjuran kejohanan, kalendar perlawanan serta semua keputusan berkaitan peraturan dan sukan. – AFP

The post AFC kesal tentang pelan pelaburan FIFA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved