Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Dato’ Afdlin Shauki bin Aksan memberi respon terhadap kenyataan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilihat seolah mempertikaikan kemenangan beliau sebagai Ketua Cabang dan menyebutnya sebagai “pelawak profesional”.
Jelas Afdlin, walaupun kenyataan tersebut disampaikan dalam nada berseloroh, namun kesannya bukanlah perkara kecil. Tegas beliau, lebih 30 tahun penglibatannya dalam dunia seni telah menyumbang kepada pembentukan minda dan jiwa masyarakat.
“Seni bukan sekadar hiburan kosong, ia cerminan masyarakat, dan kadangkala lebih jujur. Saya tidak malu dengan gelaran pelawak dan juga pengarah, penerbit, penulis, pendidik, dan aktivis sosial. Ia adalah sebahagian daripada identiti saya sebagai anak seni. Ianya juga cara saya menyara keluarga saya selama ini,” ujarnya.
Politik berpaksikan kemanusiaan
Tambahnya, apabila label “pelawak” digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat yang telah diberikan oleh akar umbi, ia membawa maksud yang jauh berbeza.
“Dunia seni telah membentuk saya bukan untuk menjadi pemimpin sempurna, tetapi untuk menjadi manusia yang tahu mendengar, berempati, dan merasai denyut nadi rakyat. Politik tanpa rasa kemanusiaan hanyalah pengurusan kuasa yang kering,” katanya lagi.
Afdlin turut menegaskan bahawa beliau hadir dalam politik bukan sekadar membawa imej selebriti, tetapi membawa nilai dan pendekatan yang berpaksikan kemanusiaan.
“Saya memilih jalan ini kerana saya yakin, seni dan politik adalah dua medan yang mampu menyentuh nurani rakyat. Saya mahu menjadi jambatan antara dunia kreatif dengan pentadbiran yang lebih berperikemanusiaan,” katanya.
Akan terus berkhidmat untuk rakyat
Mengulas lanjut, Afdlin menyatakan komitmennya untuk terus berkhidmat demi rakyat dan tidak mahu memanjangkan polemik dalaman parti. Namun beliau percaya, parti perlu terbuka kepada perbezaan dan meraikan latar belakang yang pelbagai.
“Jika kita benar-benar mahu melihat KEADILAN kekal relevan, maka kita mesti meraikan perbezaan, bukan memperlekehkannya. Anak muda, profesional, golongan seni dan rakyat biasa mesti melihat parti ini sebagai rumah perjuangan yang inklusif, bukan gelanggang ejek-mengejek dalam kalangan pemuka,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pimpinan parti, termasuk Rafizi sendiri, demi mengukuhkan cabang dan memperkukuh parti.
“Saya tetap berpegang pada prinsip. Saya terbuka untuk bekerjasama, termasuk dengan YB Rafizi sendiri. Tetapi saya juga tidak akan berdiam apabila integriti dan mandat yang saya pikul cuba dipertikai secara terbuka dan sinikal,” katanya lagi.
Afdlin turut menyatakan keterbukaannya untuk berdialog, namun menegaskan bahawa suara dan usaha golongan akar umbi tidak wajar dipinggirkan hanya kerana seseorang tidak berasal daripada “kilang politik” yang sama.
The post Afdlin beri respon terhadap kenyataan sinikal Rafizi tentang ‘Pelawak Profesional’ appeared first on The Reporter.


