
PETALING JAYA: Affin Group (Affin) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama bank konvensional terbesar di Brunei Darussalam, Baiduri Bank.
Kerjasama itu bertujuan memperluas kerjasama perbankan rentas sempadan antara Malaysia dan Brunei Darussalam, sekali gus membuka peluang perniagaan yang lebih luas untuk pelanggan di kedua-dua pasaran.
Menerusi MoU tersebut, kedua-dua institusi akan meneroka kerjasama dalam perbankan komersial dan runcit, pembiayaan, pembiayaan perdagangan, perbendaharaan, serta perkhidmatan pelaburan merangkumi perbankan pelaburan, pembrokeran saham, pengurusan aset dan unit amanah.
Langkah ini bakal memudah cara aliran transaksi, menjana perniagaan baharu serta meluaskan akses kepada penyelesaian kewangan untuk pelanggan di Malaysia dan Brunei.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Group, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, Malaysia dan Brunei berkongsi hubungan ekonomi yang kukuh dengan potensi besar untuk memperdalam aliran perniagaan serta pelaburan.
“Affin membawa perbankan konvensional dan Islam, perbankan pelaburan, pengurusan aset dan kekayaan di bawah satu bumbung.
“Apabila digabungkan dengan francais kukuh Baiduri Bank di Brunei, ia memberikan kami keupayaan lebih luas untuk memenuhi keperluan pembiayaan, pelaburan dan kekayaan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya,, perancangan Tahun Melawat Brunei 2027 serta hubungan ekonomi yang berkembang di Borneo memberikan ruang luas untuk memperkasakan aktiviti komersial dan mencipta nilai mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Baiduri Bank, Ti Eng Hui berkata, kerjasama itu berada pada posisi tepat untuk mengukuhkan sambungan ekonomi, perniagaan dan hubungan rakyat antara kedua-dua negara.
Kerjasama ini sejajar dengan Pelan Affin Axelerate 2028 (AX28) yang berteraskan Perkhidmatan Pelanggan Tanpa Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab Berimpak.
Untuk rekod, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brunei bernilai RM5.8 bilion pada 2025 dan mencatatkan RM2.4 bilion bagi tempoh separuh pertama 2026. –UTUSAN
The post Affin Group, Baiduri Bank jalin kerjasama perbankan rentas sempadan appeared first on Utusan Malaysia.





