
KOTA BHARU: Kerjasama diplomatik menjadi pilihan Malaysia dalam menyelesaikan isu-isu jenayah rentas sempadan melibatkan kedua-dua negara menerusi hubungan kukuh antara kerajaan dengan kerajaan (G2G)
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hubungan polis dengan polis (P2P) turut diperkukuhkan bagi memastikan keselamatan sempadan negara berada di tahap terbaik.
“Kerjasama G2G dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand yang bersidang dua kali setahun.
“Untuk P2P pula ia membabitkan pasukan polis di negeri-negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan yang sentiasa mengadakan perbincangan serta kerjasama berkaitan soal keselamatan,” katanya selepas menyampaikan Pampasan Kematian (Skim Takaful Berkelompok) Kepada Keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang maut akibat renjatan elektrik ketika bertugas di Beaufort, Sabah, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution memberitahu, isu berkaitan keselamatan sempadan turut dibincangkan dalam pertemuan rasmi antara beliau dengan rakan sejawatnya dari Thailand ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Anutin baru-baru ini.
Katanya, Malaysia memahami bahawa pengurusan kawasan sempadan amat sensitif kerana membabitkan kedaulatan dua negara, pergerakan rakyat kedua-dua negara serta elemen jenayah rentas sempadan.
“Jadi apa saja perkara, kita faham menguruskan kawasan sempadan ini sangat sensitif. Ia melibatkan kedaulatan dua negara, dia melibatkan pergerakan rakyat dua negara, dan melibatkan elemen-elemen jenayah juga yang jenayah rentas sempadan ini.
“Jadi kesemua itu dalam radar kita. Kita tidak boleh selesaikan melalui berbalas kenyataan media sebalikbya perlu menerusi platform, forum yang sesuai dengan tertib negara berjiran,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, keadaan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah ketika ini jauh lebih baik dan menyakinkan selepas usaha memastikan kawasan berkenaan kembali aman menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dijalankan sejak hampir 13 tahun lalu.
Katanya, ESSCOM melibatkan 10 daerah di kawasan Pantai Timur Sabah yang diklasifikasikan sebagai kawasan keselamatan, dengan gabungan tiga agensi utama bagi memastikan keadaan keselamatan kembali aman.
Ujarnya, peristiwa berdarah kira-kira 13 tahun lalu itu bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat tempatan, malah turut menjejaskan potensi pelancongan di kawasan berkenaan yang merangkumi pulau, pantai, sungai dan hutan.
“Keadaan di Pantai Timur Sabah jauh lebih baik dan lebih meyakinkan selepas 13 tahun peristiwa itu. Justeru, kita kena jalankan program jangkauan supaya negara-negara luar yakin dengan keadaan keselamatan di sana.
“Pendekatan yang boleh dilaksanakan antaranya membawa duta dan perwakilan asing melawat kawasan Pantai Timur Sabah selama tiga hari dua malam bagi melihat keadaan keselamatan serta merasai sendiri pengalaman berada di kawasan berkenaan,” katanya.-UTUSAN
The post Malaysia, Thailand kukuh kerjasama diplomatik selesai isu jenayah rentas sempadan appeared first on Utusan Malaysia.






